Kesenian Kaum Bidayuh Sarawak

CRISTOPHER Jehet, 67, tekun mengetuk kulit kayu terap yang ditebangnya minggu lalu. Kata lelaki berketurunan Bidayuh dari Serian, Sarawak ini, dia sedang menyiapkan tempahan pakaian tradisi orang Bidayuh untuk seorang pelanggannya.
Dalam hati, tertanya-tanya juga, apa kaitannya mengetuk kayu dan membuat baju?
Apabila diajukan soalan itu kepadanya, pesara kerajaan ini tersenyum sambil menjawab, pakaian tradisi masyarakat Bidayuh untuk acara keramaian tidak dibuat daripada kain, sebaliknya ia dihasilkan daripada kulit kayu terap.
Lantaran itu, dia yang dikenali masyarakat setempat sebagai ahli membuat pakaian kayu sering menerima tempahan daripada pelanggan yang terdiri daripada orang kebanyakan, pengumpul koleksi, pelancong asing mahupun pembesar negeri.
Bertemu Cristopher di Rumah Bidayuh yang terletak di Kampung Budaya Sarawak, lelaki separuh abad ini masih cergas melakukan rutin hariannya, iaitu menunjukkan demonstrasi penyediaan pakaian kulit kayu kepada pelancong yang datang berkunjung.
“Untuk mengeluarkan kulit kayu dengan ketebalan yang diingini, batang kayu terap perlu diketuk terlebih dahulu.
“Ketukan tidak perlu kuat namun konsisten supaya memudahkan kulit ditanggalkan daripada batang kayu,” ujarnya.
Untuk mendapatkan saiz yang diperlukan, dia mengetuk bahagian kayu yang sama berulang kali.
“Jika mahukan kulit yang lebar, saya perlukan masa sekurang-kurangnya setengah hari untuk mengetuk batang kayu terap,” kata Christopher.
Selesai mengetuk, kulit kayu kemudian dipotong menggunakan pahat khas.
Dengan anggaran 10 sentimeter persegi, kulit kayu yang sudah ditanggalkan akan diketuk semula sehingga ia menipis.
“Saiz kulit kayu ini boleh membesar sehingga tiga kali ganda. Menarik tentang kulit kayu terap ini, ia tidak pecah walaupun diketuk berulang kali sehingga nipis,” ujar Cristopher.
Untuk menghasilkan bidang kulit kayu yang nipis dan lebar, kulit kayu perlu ditanggalkan dari batang kayu secara berhati-hati.
Setelah semuanya selesai, kulit yang sudah siap diketuk akan dicuci dan direndam dalam air selama sehari untuk menghilangkan getah dan melembutkannya.
Jika Christopher menyediakan kulit kayu, isterinya, Ester Anak Sirid, 63, terkenal sebagai tukang jahit kayu terap.

Patung enam kaki
“Kulit kayu yang sudah kering boleh disimpan atau dijahit mengikut rekaan yang dikehendaki.
“Selain dibuat pakaian, kulit kayu terap ini juga sering dibuat selimut, bengkung wanita bersalin dan aksesori seperti beg dan dompet,” ujar Ester yang sudah lebih 35 tahun berpengalaman menjahit kulit kayu terap.
Selain pakaian kayu, etnik Bidayuh yang turut menggelarkan diri mereka sebagai Dayak Darat ini juga terkenal sebagai pengukir kayu.


Menurut seorang pengukir berpengalaman, Kumbu Anak Katau, 66, ukiran kayu etnik Bidayuh kebanyakannya diinspirasikan daripada semangat, sama ada semangat dewa, manusia ataupun haiwan.
“Zaman dahulu, orang Bidayuh percaya bahawa ukiran kayu yang menterjemahkan karakter dewa perlu dipandang mulia kerana ia mewakili semangat dewa yang boleh melindungi dan menjauhkan kejahatan.
“Patung bernama tigundo misalnya, ia sangat dihormati. Ia tidak boleh disentuh dan dipersendakan kerana dipercayai boleh mendatangkan musibah kepada sesiapa yang tidak menghormatinya,” ujarnya.
Namun, keadaan kini telah berubah. Patung-patung yang diukir tidak lagi dianggap sebagai wakil semangat, sebaliknya lebih kepada apresisasi seni ukiran kayu yang diperturunkan generasi terdahulu.

Tanpa sebarang lakaran awal, Kumbu yang sudah lebih 50 tahun mengukir mengakui, dia tidak berdepan masalah besar sekiranya ada pelancong yang inginkan ukiran siap dalam masa yang singkat.
“Ukiran pada kayu belian mengambil masa antara dua ke tiga hari, bergantung kepada rekaan dan saiz.
“Pernah juga saya menerima tempahan ukiran pintu gerbang bertemakan bentuk tubuh manusia setinggi enam kaki (1.8 meter). Itulah ukiran terbesar yang pernah saya hasilkan. Saya ambil masa dua minggu untuk menyiapkannya.
“Untuk ukiran kepala monyet daripada sabut kelapa pula, saya cuma perlukan 20 minit untuk menyiapkannya,” ujar Kumbu yang selalu mendapat tempahan daripada pelancong dalam dan luar negara.

Selain kaya dengan warisan seni ukir, masyarakat Bidayuh juga terkenal dengan instrumen muzik tradisional yang dihasilkan daripada buluh betung iaitu pratoa’ng.
Bagi seorang pemuzik, Arthur Kanying, 46, petikan tali pratoa’ng mampu menghasilkan irama harmoni yang disifatkan sebagai cukup mengasyikkan.
“Pratoa’ng adalah identiti seni muzik orang Bidayuh malah ia sering dijadikan instrumen utama dalam persembahan berkumpulan, bukan sahaja dalam kalanngan genre muzik tradisi bahkan diterima dalam genre muzik moden,” katanya.
Arthur yang tinggal di Rumah Panjang Annah Rais, Ulu Pedawan bukan sahaja boleh menghasilkan pratoa’ng malah dia juga sering dijemput sebagai tenaga pengajar di jabatan seni muzik di beberapa institusi pengajian tinggi awam.
“Pratoa’ng ada keistimewaannya tersendiri. Selain petikan tali halusnya, ia juga boleh menghasilkan bunyi seperti gendang dan gong.
“Untuk bermain pratoa’ng, anda cuma perlukan buluh, kayu pengetuk dan selitan getah untuk melembutkan bunyi,” katanya.

Sumber : Kosmo

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes