MOU MALAYSIA & INDONESIA TANGANI JEREBU

Malaysia dan Indonesia kini sedang bekerjasama untuk merangka perjanjian persefahaman di peringkat hubungan dua hala untuk menangani masalah jerebu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel. 

Beliau berkata perjanjian persefahaman berkenaan membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman, kepakaran dan maklumat berhubung usaha menangani masalah jerebu. 

"Saya kini sedang menunggu Menteri Alam Sekitar Indonesia yang baharu untuk mengangkat sumpah. Selepas menteri baharu dilantik saya akan ke Indonesia pada November atau Disember untuk mengadakan perbincangan berhubung memorandum persefahaman ini," katanya. 

Palanivel berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ozon Antarabangsa di Universiti Kuala Lumpur - Malaysia France Institute di sini hari ini. 

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan berkata perbincangan di peringkat para pegawai kanan Kementerian Alam Sekitar dari kedua-dua buah negara kini giat diadakan bagi merealisasikan perjanjian persefahaman tersebut. 

Perkara yang diberi tumpuan dalam perjanjian berkenaan ialah usaha mencegah pembakaran hutan dan pembakaran terbuka, katanya. 

Halimah berkata memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia ini adalah satu perjanjian yang berasingan dengan Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang diterima oleh Indonesia baru-baru ini. 

Memorandum persefahaman yang sedang dirangka adalah di peringkat hubungan dua hala manakala Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan adalah perjanjian peringkat serantau, tambah beliau. 

Baru-baru ini Parlimen Indonesia mengundi untuk mengesahkan perjanjian serantau itu, 12 tahun selepas kerajaan Indonesia menandatanganinya. 

Perjanjian serantau itu dirangka selepas berlaku jerebu paling teruk pada 1997, yang pencemarannya berpunca daripada proses menebang dan membakar hutan di Indonesia untuk penanaman tanaman terutamanya kelapa sawit. 

Mengenai Hari Ozon Antarabangsa, Palanivel dalam ucapan perasmiannya berkata, mulai 1 Jan 2015 penggunaan Metil Bromida sebagai racun makhluk perosak hanya dibenarkan bagi aktiviti kuarantin dan praperkapalan. 

"Mulai Jan 2015, pengimportan bahan pemusnah ozon hidroklorofluorokarbon (HCFC) akan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada had pembekuannya pada tahun 2013. 

"Ini adalah cabaran bagi industri yang perlu menukar teknologi bagi menghasilkan produk yang menggunakan bahan alternatif yang tidak memberi kesan kepada lapisan ozon dan alam sekitar amnya," jelas beliau. 

-- BERNAMA

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes