CRISTOPHER Jehet, 67, tekun mengetuk kulit kayu terap yang
ditebangnya minggu lalu. Kata lelaki berketurunan Bidayuh dari Serian,
Sarawak ini, dia sedang menyiapkan tempahan pakaian tradisi orang
Bidayuh untuk seorang pelanggannya.
Dalam hati, tertanya-tanya juga, apa kaitannya mengetuk kayu dan membuat baju?
Apabila diajukan soalan itu kepadanya, pesara kerajaan ini tersenyum
sambil menjawab, pakaian tradisi masyarakat Bidayuh untuk acara
keramaian tidak dibuat daripada kain, sebaliknya ia dihasilkan daripada
kulit kayu terap.
Lantaran itu, dia yang dikenali masyarakat setempat sebagai ahli
membuat pakaian kayu sering menerima tempahan daripada pelanggan yang
terdiri daripada orang kebanyakan, pengumpul koleksi, pelancong asing
mahupun pembesar negeri.
Bertemu Cristopher di Rumah Bidayuh yang terletak di Kampung Budaya
Sarawak, lelaki separuh abad ini masih cergas melakukan rutin hariannya,
iaitu menunjukkan demonstrasi penyediaan pakaian kulit kayu kepada
pelancong yang datang berkunjung.
“Untuk mengeluarkan kulit kayu dengan ketebalan yang diingini, batang kayu terap perlu diketuk terlebih dahulu.
“Ketukan tidak perlu kuat namun konsisten supaya memudahkan kulit ditanggalkan daripada batang kayu,” ujarnya.
Untuk mendapatkan saiz yang diperlukan, dia mengetuk bahagian kayu yang sama berulang kali.
“Jika mahukan kulit yang lebar, saya perlukan masa sekurang-kurangnya
setengah hari untuk mengetuk batang kayu terap,” kata Christopher.
Selesai mengetuk, kulit kayu kemudian dipotong menggunakan pahat khas.
Dengan anggaran 10 sentimeter persegi, kulit kayu yang sudah ditanggalkan akan diketuk semula sehingga ia menipis.
“Saiz kulit kayu ini boleh membesar sehingga tiga kali ganda. Menarik
tentang kulit kayu terap ini, ia tidak pecah walaupun diketuk berulang
kali sehingga nipis,” ujar Cristopher.
Untuk menghasilkan bidang kulit kayu yang nipis dan lebar, kulit kayu perlu ditanggalkan dari batang kayu secara berhati-hati.
Setelah semuanya selesai, kulit yang sudah siap diketuk akan dicuci
dan direndam dalam air selama sehari untuk menghilangkan getah dan
melembutkannya.
Jika Christopher menyediakan kulit kayu, isterinya, Ester Anak Sirid, 63, terkenal sebagai tukang jahit kayu terap.
Patung enam kaki
“Kulit kayu yang sudah kering boleh disimpan atau dijahit mengikut rekaan yang dikehendaki.
“Selain dibuat pakaian, kulit kayu terap ini juga sering dibuat
selimut, bengkung wanita bersalin dan aksesori seperti beg dan dompet,”
ujar Ester yang sudah lebih 35 tahun berpengalaman menjahit kulit kayu
terap.
Selain pakaian kayu, etnik Bidayuh yang turut menggelarkan diri
mereka sebagai Dayak Darat ini juga terkenal sebagai pengukir kayu.
Menurut seorang pengukir berpengalaman, Kumbu Anak Katau, 66, ukiran
kayu etnik Bidayuh kebanyakannya diinspirasikan daripada semangat, sama
ada semangat dewa, manusia ataupun haiwan.
“Zaman dahulu, orang Bidayuh percaya bahawa ukiran kayu yang
menterjemahkan karakter dewa perlu dipandang mulia kerana ia mewakili
semangat dewa yang boleh melindungi dan menjauhkan kejahatan.
“Patung bernama tigundo misalnya, ia sangat dihormati. Ia tidak boleh
disentuh dan dipersendakan kerana dipercayai boleh mendatangkan musibah
kepada sesiapa yang tidak menghormatinya,” ujarnya.
Namun, keadaan kini telah berubah. Patung-patung yang diukir tidak
lagi dianggap sebagai wakil semangat, sebaliknya lebih kepada apresisasi
seni ukiran kayu yang diperturunkan generasi terdahulu.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)