TANGGAL 7hb April 2018, Parlimen Malaysia dengan rasminya dibubarkan bagi membolehkan satu pilihanraya diadakan di seluruh Malaysia. Dan semalam pula menyaksikan badan yang bertanggungjawab terhadap pilihanraya di Malaysia iaitu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah mengumumkan tiga tarikh “keramat” yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia sejak setahun yang lalu. Tanggal 28hb April 2018 (Hari Penamaan Calon), 5hb Mei 2018 (Pengundian awal) dan seterusnya 9hb Mei 2018 sebagai hari mengundi untuk seluruh rakyat Malaysia yang layak dan berdaftar sebagai pengundi di kawasan masing-masing.
Itu ceritanya pilihanraya yang akan menjelang tiba tidak lama lagi dan dalam pada itu kesemua 12 buah negeri Gagasan Malaysia akan mengadakan Pilihanraya Umum (memilih wakil di Parlimen) dan Pilihanraya Negeri (memilih wakil di Dewan Undangan Negeri) manakala untuk Sarawak hanya akan mengadakan PRU sahaja setelah PRN telahpun diadakan pada tahun 2016 yang menyaksikan “demam Toknan” melanda Sarawak dan Barisan Nasional Sarawak menang dengan majoriti yang amat besar di dalam sejarahnya pada tahun itu.
Menyoroti sejarah pilihanraya di Sarawak sebenarnya sudahpun bermula sejak Sarawak menjadi salah satu jajahan Koloni Mahkota Sarawak British lagi. Sebelum penyerahan Sarawak lagi, Keluarga Brooke telah menubuhkan Majlis Negeri yang mana ianya turut melibatkan pemimpin-pemimpin kaum di Sarawak untuk menganggotainya. Namun segalanya adalah atas pemilihan Brooke dan bukannya oleh rakyat pada masa itu. Sekitar tahun 1956, satu perlembagaan baru telah diluluskan oleh Kerajaan pada masa itu sehingga membenarkan pilihan raya yang julung-julung kalinya di adakan di Sarawak. Pada November 1957 pilihanraya diadakan bagi memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching. Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.
Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan pula diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri. Sekitar tahun 1962 iaitu dikala Sarawak diambang kemerdekaan bagi merealisasikan satu pembentukan yang digelar Gagasan Malaysia maka dengan pemerhatian penuh daripada Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British telah diadakan satu pilihanraya di Sarawak pada waktu itu. Beberapa buah parti politik telah bertanding di dalam pilihanraya tersebut seperti SNAP, PANAS, SUPP dan PESAKA. Di dalam pilihanraya ini parti SNAP telah menang majoriti yang besar dan SNAP diketika itu diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan.
Pada tanggal 22hb Julai 1963, pihak Koloni Mahkota Sarawak British telah merealisasikan apa yang diminta oleh rakyat Sarawak dan dengan mandat daripada mereka maka lahirlah barisan kabinet yang dianggotai oleh anak Sarawak serta kepimpinannya adalah juga dari anak Sarawak iaitu Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Mendiang Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan. Selain daripada itu barisan kabinet pertama juga turut dipilih iaitu Abdul Taib bin Mahmud, James Wong Kim Ming, Dustan Endawie Anak Enchana, Awang Hipni bin Pengiran Anu dan Teo Kui Seng.
Seterusnya pilihan raya yang pertama selepas pembentukan Malaysia hanya diadakan dari tahun 1969 hingga 1970. Ada banyak peristiwa yang menyebabkan mengapa ianya dijalankan sebegitu lama. Pada masa itu akibat daripada halangan serta kesulitan dari segi komunikasi mahupun sistem pengangkutan maka ianya agak memakan masa. Kemudian Tragedi 13 Mei juga turut mendorong kepada kelewatan pilihanraya itu diadakan di Sarawak pada ketika itu.
Di samping itu di dalam rentetan sejarah pilihan raya tahun 1970 juga menyaksikan satu proses pilihan raya yang agak mencabar kerana Sarawak pada masa itu turut masih belum bebas dari ancaman pihak komunis atau PARAKU. Di Sarikei misalnya pada tanggal 29 Jun 1970 iaitu ketika PRN dan PRU Sarawak disambung selepas darurat iaitu dari 6 Jun hingga 4 Julai 1970, pengganas komunis telah membunuh tiga orang Pengurus Pilihanraya di ketika mereka sedang membawa peti-peti undi ke pusat pengumpulan undi. Pada masa itu juga di tempat-tempat lain turut mendapat beberapa kemalangan tetapi tidak melibatkan korban jiwa seperti perletakan bom di pusat mengundi dan sebagainya.
Pada tanggal 31 Julai 1974 pula menyaksikan Dewan Undangan di setiap negeri dan Parlimen Malaysia dibubarkan serentak. Maka pada tanggal 24 April hingga 14 September 1974 pula menyaksikan rakyat Sarawak keluar memilih serentak untuk PRN dan PRU. Dan “turning point” bagaimana Sarawak berbeza mengadakan PRN dan PRU bukan pada masa yang sama berlaku pada PRN ke-3 iaitu pada tahun 1979. Ianya adalah atas kehendak Ketua Menteri Sarawak pada masa itu iaitu Allahyarham Tun Abdul Rahman bin Yaakub. Setahun sebelum itu iaitu pada tahun 1978, Sarawak hanya keluar mengundi untuk Pilihan raya umum sahaja.
PRN Sarawak yang ke-4 diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri yang baru Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac, 1981. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November, 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Disember dan pengundian pada 28 dan 29 Disember. Peristiwa Ming Court 1987 merupakan salah satu daripada punca kepada Dewan Undangan Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987. Pada masa ini beberapa pemimpin PBB telah memberontak dan bersatu dibawah pimpinan Tun Abdul Rahman bin Yaakub lalu membentuk satu perikatan yang dikenali sebagai “Kumpulan Maju”. Pada masa ini juga parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak bertindak keluar daripada perikatan BN Sarawak tetapi masih menjadi komponen BN pusat.
PRN ke-5 Sarawak diadakan pada 15-16 April 1987 dan pada ketika itu komponen BN Sarawak memenangi 28 daripada 48 kerusi DUN. Dan akhirnya ianya menang majoriti 2/3 apabila YB PBDS seramai 8 orang semuanya bertindak menyertai Barisan Nasional Sarawak semula. 28 – 29 September 1991 menyaksikan rakyat Sarawak memilih untuk PRN ke-6. Dan ianya juga turut dimenangi oleh komponen Barisan Nasional Sarawak yang cukup besar. Kemudian PRN ke-7 pula juga berlangsung pada 7 – 8 Disember 1996.
DUN Sarawak dibubarkan pada 3 September 2001 maka bermulalah segala kerja-kerja penyediaan untuk rakyat Sarawak menghadapi PRN Sarawak yang ke-8. Sejajar dengan pembangunan infrastruktur dan komunikasi pada ketika itu, untuk PRN ke-8 inilah pertama kalinya tarikh pengundian diadakan hanya sehari iaitu pada 18 September 2001.
Dan PRN ke-9 pula diadakan pada 20 Mei 2006. PRN ke-10 pula diadakan pada 16 April 2011. Pada PRN ke 10 ini BN Sarawak berjaya mengekalkan majoriti 2/3 mandat namun begitu turut kehilangan 8 Kerusi DUN melalui SUPP yang kalah teruk di dalam PRN tersebut. Pada PRN ini juga turut menyaksikan pertambahan ke atas kerusi yang diwakili oleh DAP Sarawak. Bagi PRN Ke-11 2016 ini pula menyaksikan Sarawak dibawah Pehin Sri Adenan bin Haji Satem yang menggunakan kaedah “calon langsung Barisan Nasional” di dalam strateginya telah berjaya menambat hati rakyat Sarawak apabila hanya membenarkan empat kerusi diambil oleh Pakatan Harapan dari keseluruhan 82 kerusi yang dipertandingkan.
Untuk PRU ke-14 nanti, sama-samalah kita tunggu apakah pula keputusannya kerana rakyatlah yang lebih memahami apakah yang mereka mahukan samada memilih kem yang dipelopori oleh Dato Seri Najib Tun Razak atau kem mantan Perdana Menteri sebelumnya yang sudah berubah angin iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammed. Yang penting biarlah suasana “rakyat Malaysia memilih” diadakan di dalam penuh aman dan sentosa dan tiada provokasi melampau dari kedua-dua pihak.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah
Rujukan:
1. Sejarah Pilihan Raya Sarawak
http://www.jiwabakti.com.my/sejarah-pilihan-raya-sarawak.ht…
2. Rentetan Sejarah Pilihanraya Negeri Sarawak
http://www.theborneopost.com/…/rentetan-sejarah-pilihan-ra…/
3. Sejarah Barisan Kabinet Sarawak Yang Pertama – Borneo Oracle
4. Sarawak – Ke Arah Berkerajaan Sendiri – Borneo Oracle
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.