Nyeruk dan Ngambik dalam Masyarakat Melayu Sarawak

Nyeruk merupakan istilah yang digunakan oleh masyarakat Melayu Sarawak jika hendak mengadakan sesuatu majlis HANYA KAUM LELAKI sahaja yang dijemput. Namun tidaklah menjadi masalah jika kaum wanita juga turut datang kerana sifat yang ada pada masyarakat Melayu yang mudah menyambut tetamu.
Kebiasaannya "nyeruk" dilakukan oleh wakil tuan rumah yang hendak mengadakan majlis. Wakil tuan rumah ini hendaklah syaratnya seorang lelaki. Ayat yang biasa digunakan ialah " Kamek tuk wakil _________ nyampei salam minta kitak datang pukul _______  makan (majlis) _________nya". Maksudnya "Saya ni wakil _________ menyampaikan salam meminta encik datang pada pukul _______  untuk makan (majlis) _________nya". Perbualan ini hanya untuk wakil (lelaki) dan tetamu lelaki yang diundang sahaja.
Nyeruk biasanya hanya digunakan untuk majlis berskala kecil. Mungkin faktor menjimatkan kos perbelanjaan. Contohnya , makan doa selamat.
Manakala "Ngambik" pula melibatkan wakil tuan rumah dari kalangan wanita. Ayat yang digunakan lebih kurang sama berbunyi "Kamek tuk wakil Puan ________ ngambik kitak pake ari bekerja ________ kelak." Maksudnya , "Saya ni wakil Puan ________ menjemput cik/puan/datin untuk memeriahkan majlis ________ kelak."Perbualan ini dibatasi untuk kaum wanita dan wanita sahaja.
Jika wakil lelaki yang datang "nyeruk" tidak berjumpa dengan kaum lelaki, maka hendaklah disampaikan pesanan kepada kaum wanita yang ada di situ. Begitu juga sebaliknya dengan "ngambik" tadi.
Mereka yang menjadi wakil "nyeruk" dan "ngambik" hendaklah berjalan keliling kampung , dari rumah ke rumah mengikut kesesuaian bajet / pesanan tuan rumah.
Kebiasaannya ,wakil "nyeruk" daripada kalangan lelaki remaja. Manakala wakil "ngambik" pula biasanya terdiri daripada kaum wanita yang dalam lingkungan 30 hingga 40 lebih tahun umurnya.
Kadang-kadang, untuk menjimatkan masa, wakil "ngambik" akan mewakilkan sekali tuan rumah menjemput sekeluarga dari setiap rumah untuk datang ke majlis mereka. Biasanya, majlis ini seperti majlis perkahwinan, akikah dan sebagainya yang berskala besar.
Sekian sahaja kisahnya "nyeruk" dan "ngambik". Kini, dunia semakin maju...pelbagai cara digunakan terutama mereka yang jauh. Bagi yang dekat (sama kampung) adat ini masih diamalkan.

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes