Allahyarham 19151 Tpr Rasli bin Buang Wira dari Pinggir Desa

Dilahirkan pada tahun 1949 di Kampung Buntal, Kuching, Sarawak. Memulakan kerjaya sebagai anggota tentera pada bulan September 1968 di Port Dickson dan berkhidmat dengan Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu diRaja . Telah mengikuti latihan komando dan menganggotai Pasukan Elit Negara (RGKM) Terup no.3 Skuadron XI Regimen Gerak Khas Malaysia yang Berpangkalan di Sungai Udang , Melaka.
Pada 6 Julai 1971, semasa kumpulan Allahyarham diatur gerak untuk mencari dan memusnahkan musuh di Perak, mereka telah bertempur dengan sekumpulan pengganas komunis dan semasa pertempuran tersebut, salah satu peluru pengganas komunis telah singgah di leher Allahyarham ketika beliau sedang melompat mendapatkan perlindungan.
Allahyarham telah menyahut panggilan Illahi buat selama-lamanya pada 6 Julai 1971 ketika berumur 22 tahun. Jenazah beliau telah diterbangkan dari Ipoh ke Kuching untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buntal pada 8 Julai 1971.
Atas pengorbanannya, Allahyarham 19151 Tpr Rasli bin Buang telah diperkenankan oleh DYMM Seri Paduka  Baginda Yang diPertuan Agong Al Sultan Almutasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah untuk dianugerahkan anugerah tertinggi keberanian Negara iaitu Bintang Seri Pahlawan Perkasa (S.P) pada 7 Julai 1972. Allahyarham merupakan rakyat Malaysia yang kedua pernah menerima anugerah tersebut dan yang pertama bagi anak Sarawak.
Sumber :  Papan Notis Buntal Bay yang disumbangkan oleh UNIMAS dengan kerjasama DBKU, Pusat Transformasi Luar Bandar dan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan)
Al-Fatihah. Jasamu Sentiasa Kami Kenang. Semoga Roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Aamiin.8

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes