Dortmund Layak ke Final Liga Juara-juara 2013

Borussia Dortmund melakar sejarah apabila melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara musim ini.
Meskipun tewas 0-2 kepada Real Madrid pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam, anak-anak buah Juergen Klopp mara dengan agregat 4-3 hasil kemenangan 4-1 pada aksi pertama di Signal Iduna Park minggu lalu.

Pada aksi awal pagi semalam, pemain-pemain Dortmund dipaksa bekerja keras sehingga ke minit-minit akhir permainan, terutamanya selepas skuad bimbingan Jose Mourinho itu memperoleh dua gol menerusi Karim Benzema dan Sergio Ramos masing-masing pada minit ke-82 serta ke-88.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidak menghalang Dortmund untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 1997.

Dortmund mempunyai prospek untuk bertemu musuh sejiran, Bayern Munich pada aksi final di Stadium Wembley pada 25 Mei ini selepas juara Bundesliga yang bertemu Barcelona awal pagi tadi mendahului dengan kelebihan 4-0.

“Mereka (Real) memberi banyak tekanan kepada kami dan berjaya merapatkan jurang apabila menjaringkan dua gol pada lewat permainan. Bagaimanapun, kami berjaya membuktikan kualiti kami dan akhirnya layak ke perlawanan akhir.
“Setakat ini saya belum memikirkan tentang aksi di Stadium Wembley. Kami mahu meraikan kejayaan malam ini (semalam) dan perlawanan akhir akan difikir- kan kemudian,” kata pemain tengah Dortmund, Kevin Grosskreutz.

Sementara itu, Klopp berkata, Stadium Wembley bakal menjanjikan detik terindah dalam hidup mereka dan beliau tidak kisah siapa lawan yang akan ditemui di pentas final tersebut.
“Setelah layak sejauh ini, anda pasti tidak mahu berpuas hati sekadar beraksi pada perlawanan akhir. Anda pasti ingin- kan kejayaan,” tegas Klopp.
Dalam pada itu, Mourinho berkata, beliau pasti tidak dapat melupakan kekala- han pada aksi separuh akhir pertama kerana ia antara persembahan terburuk yang ditampilkan anak-anak buahnya.
“Saya tidak akan melupakan perlawanan pertama dan pada aksi itu kami beraksi sangat teruk,” katanya.

Kapten Real, Sergio Ramos turut mengakui bahawa dia berasa sangat malu dengan kekalahan itu.
“Satu perkara biasa apabila kalah pada pertandingan bola sepak, namun kalah kepada Dortmund kali ini memberi satu pengajaran paling berharga buat pasukan dan kami turut bersimpati dengan penyokong-penyokong Real yang terlalu berharap kami melakar kemenangan,” kata- nya. – AP

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes