KUCHING: Hampir seluruh Sarawak mengalami gangguan bekalan tenaga elektrik mulai kira-kira jam 6 petang semalam dan beransur pulih berperingkat-peringkat di beberapa kawasan selang sekitar lebih sejam selepas itu.
Ketiadaan tenaga elektrik menyebabkan kebanyakan rumah di bandar raya ini bergelap, cuma diterangi kesamaran cahaya api lilin dan jana kuasa mini.
Beberapa pasar raya yang tidak mempunyai jana kuasa sendiri turut bergelap dan tidak membenarkan pelanggannya memasuki premis.
Kebetulan, insiden ini berlaku ketika orang ramai dalam perjalanan balik ke rumah setelah selesai kerja masing-masing.
Lalu lintas di beberapa batang jalan utama sesak apabila lampu isyarat di persimpangan tidak menyala.
Pengurus Komunikasi Korporat Sarawak Energy Bhd (SEB) Ahadiah Zamhari menerusi satu kenyataan berkata ketiadaan bekalan elektrik berpunca daripada gangguan litar di transmisi kuasa Kemena-Bintulu pada jam 5.40 petang.
Sambil kesal dengan kesukaran dihadapi pengguna, bagi pihak SEB beliau berkata tempoh untuk memulihkan bekalan tenaga elektrik tidak dapat dipastikan.
“Jurutera dan juruteknik kami sedang bertungkus-lumus mengatasi masalah agar dapat mengembalikan tenaga elektrik secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, kebanyakan suapan berita di Facebook terutama di kalangan pengguna di Sarawak memaparkan masalah sama.
Bagaimanapun, ada beberapa kawasan di bandar raya ini dan bandar-bandar lain seperti Bintulu kembali pulih kira-kira jam 7 malam.
Di Sibu, seluruh bandar itu turut mengalami gangguan bekalan elektrik bermula kira-kira jam 6 petang.
Gangguan bekalan elektrik itu telah menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di jalan utama di bandar itu berikutan lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Keadaan sesak itu bagaimanapun berjaya dikawal dengan kehadiran anggota polis yang mengawal lalu lintas.
Di Bintulu sebuah hotel ternama dikatakan terpaksa menggunakan jana kuasa sendiri kerana majlis dihadiri orang kenamaan perlu diteruskan.
Di Mukah dan Miri situasi yang sama turut berlaku dengan orang ramai sibuk mencari lilin di kedai berhampiran.
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.