Syarikat laman media sosial terbesar dunia, Facebook bercadang untuk menguji ciri-ciri pembayaran mudah alih yang baru.
Syarikat berkenaan akan menggunakan butiran pembayaran yang dimasukkan sendiri oleh pengguna ke dalam akaun Facebook selepas membuat pembelian dengan menggunakan aplikasi telefon.
“Produk ini adalah hanya ujian supaya kami boleh membantu rakan pembekal aplikasi dan seterusnya memudahkan lagi urusan perniagaan di Facebook,” kata jurucakap Facebook, Tera Randall.
Beliau menambah, pihaknya akan melaksanakan langkah berkenaan dengan bantuan ‘rakan baik’ mereka iaitu Paypal yang merupakan pengendali bayaran dalam talian terbesar di dunia.
Ciri terbaru itu juga sekaligus membolehkan pengiklan melihat sejauh mana keberkesanan Facebook sebagai platform menjana pendapatan mereka.
Facebook setakat ini mempunyai lebih satu bilion pengguna dan separuh daripadanya melayarinya setiap hari.
Secara tidak langsung, ia mempunyai potensi cukup besar untuk menarik pengiklan.
Berdasarkan laporan pendapatan terkini, Facebook menjana pendapatan menerusi iklan sebanyak AS$1.6 bilion atau kira-kira RM5.2 bilion antara April hingga Jun lalu.
Ekoran itu, penganalisis berpendapat, ciri-ciri pembayaran baru itu akan membolehkannya mengesan atau merekodkan jumlah pengguna yang membuat pembelian melalui Facebook.
“Facebook tidak mahu kekal sebagai platform mempromosi jenama dan memimpin generasi, ia mahu menjadi tempat tumpuan perdagangan elektronik,” kata seorang penganalis, Manoj Menon.
Bagaimanapun ada juga penganalisis yang sangsi dengan ciri terbaru yang hendak diperkenalkan oleh Facebook itu.
Ini kerana ia akan menyebabkan pengguna berasa bimbang mengenai tahap keselamatan maklumat kewangan mereka yang secara tidak langsung akan terdedah kepada umum.