CALIFORNIA – Apple Inc memperkenalkan dua model iPhone generasi baru iaitu iPhone 5C dan iPhone 5S yang dilengkapi dengan pengimbas jari dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran telefon pintar yang semakin sengit bersaing.
Apa yang menarik, iPhone kali ini dijual pada harga lebih murah dan model plastik pelbagai warna bagi memenuhi permintaan pasaran.
iPhone 5C didatangkan dengan lima warna iaitu biru, hijau, merah jambu, kuning serta putih dan dijual pada harga USD$99 (RM323.99) dengan kontrak.
Namun, harga iPhone 5C tanpa kontrak dijual agak mahal iaitu USD$549 (RM1,795.56) seunit.
Sementara itu, iPhone 5S pula dijual pada harga serendah USD$199 (RM650.99) dengan kontrak dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu kelabu, perak dan emas.
iPhone 5S dilaporkan mempunyai pemproses lebih pantas, ciri kamera lebih baik selain pengimbas jari bagi membuka telefon (unlock) hanya dengan satu sentuhan.
Ia turut mempunyai cip ‘M7 Motion co-processor’ yang boleh mengesan pergerakan data secara berterusan tanpa menggunakan banyak kuasa bateri.
Aplikasi bekenaan secara tidak langsung akan membantu Apple memahami kehendak pengguna dan membolehkan pembangun perisian menyediakan aplikasi yang lebih baik pada masa akan datang.
iPhone 5C akan mula dijual secara dalam talian mulai Jumaat manakala iPhone 5S boleh didapati menerusi tempahan awal mulai 20 September.
Buat pertama kali, dua produk berkenaan akan dijual serentak di China bagi mengelakkan iPhone dijual di pasaran gelap.
Apple juga bercadang meningkatkan jualannya di China dengan menjalinkan kerja sama dengan China Mobile.
Apple yang merupakan syarikat teknologi paling berharga di dunia kini sedang berusaha keras menguasai pasaran utama dunia termasuk China dan India yang disaingi hebat Samsung Electronics Co Ltd dan Huawei Technologies Co Ltd.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, syarikatnya menyasarkan untuk menjual 700 juta unit iPhone atau iPad dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Sejak memperkenalkan iPhone dengan teknologi skrin sentuh pada 2007, produk itu terus mengalami revolusi memberangsangkan dari segi kelajuan, berat serta saiz dan resolusi paparan.-abnxcess-