JAKARTA: Kumpulan tegar Islam di Indonesia kembali melakukan bantahan di ibu kota negara itu dan dua lagi bandar bagi menentang peraduan ratu cantik Miss World yang diadakan di pulau peranginan, Bali.
Beratus-ratus anggota Barisan Pertahanan Islam dan Forum Persatuan Islamik mengadakan perhimpunan lewat kelmarin di Jakarta.
Mereka mengibarkan sepanduk dengan slogan "Tolak Miss World" dan "Miss World ke Neraka".
Bantahan serupa turut diadakan di bandar-bandar Jawa Timur, Jember dan Banyuwangi, di mana polis menghalang para penunjuk perasaan daripada meneruskan perjalanan ke Bali.
Peraduan ratu cantik Miss World yang ke-63 dimulakan di Bali Ahad lalu setelah penunjuk perasaan mengadakan bantahan selama berhari-hari.
Sedang pertandingan Miss World berlangsung di Bali, satu lagi pertandingan turut diadakan di Indonesia tetapi pertandingan itu dikhususkan untuk golongan Muslimah.
Pertandingan Dunia Muslimah itu akan diadakan di Jakarta lusa dan merupakan "jawapan Islam kepada (pertandingan) Miss World", kata pengasas pertandingan itu, Cik Eka Shanti, kelmarin.
"Dunia Muslimah adalah pertandingan kecantikan tetapi keperluannya berbeza daripada Miss World - anda harus warak, menjadi contoh positif dan menunjukkan bagaimana anda mengimbangi kerohanian dalam dunia moden hari ini," jelas Cik Shanti.
Seramai 20 peserta akhir pertandingan Dunia Muslimah telah dipilih daripada lebih 500 peserta.
Peserta akhir dari Iran, Malaysia, Brunei, Bangladesh, Nigeria dan Indonesia akan memperagakan fesyen Islamik dalam apa yang dikatakan Cik Shanti sebagai peluang menunjukkan wanita Islam muda bahawa mereka tidak perlu menunjukkan bahagian "kurang sopan" seperti rambut dan bahu untuk kelihatan cantik. - AP, AFP.