Perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau
menentang penjajah Inggeris di Pahang pada 1891 sudah termaktub dalam
sejarah negara. Penentangan yang turut dibantu Datuk Bahaman dan Tok
Gajah yang juga bapa Mat Kilau sendiri itu akhirnya tidak dapat
merungkai ke manakah menghilangnya jasad Mat Kilau apabila pelbagai
pihak tidak dapat memastikan tahun bilakah beliau meninggal dunia dan di
manakah kubur sebenarnya.
Namun kemunculan seorang lelaki tua yang mendakwa dirinya Mat Kilau
pada 26 Disember 1969 menggemparkan negara disebabkan laporan yang
diketahui menyatakan Mat Kilau sudah lama meninggal dunia akibat dibunuh
tentera Siam.
Rentetan itu, bagi mengimbas semula perjuangannya di samping memberi peluang kepada penonton dan masyarakat untuk membuat penilaian sendiri terhadap kisah Mat Kilau, sempena Hari Kemerdekaan ke-56 ini, Majalah 3 edisi istimewa bakal menayangkan kisah Mat Kilau: Sumpah Bahadur di TV3 jam 9 malam ini.
Memilih Mat Kilau sebagai ikon, wartawan yang juga penerbit untuk edisi ini, Nurul Fariha On berkata, Mat Kilau adalah seorang pejuang muda yang harus dijadikan contoh oleh generasi sekarang.
Mat Kilau |
Lebih dua tahun membuat kajian sebelum menyiarkannya kepada penonton, wanita yang mesra dengan panggilan Fariha ini mengakui sedikit tertekan pada awal menyiapkan projek ini apatah lagi dia bukanlah seorang yang meminati sejarah.
“Sesuatu yang sukar apabila kita perlu menyiapkan projek yang berkaitan dengan sejarah pahlawan negara. Banyak tarikh dan fakta yang perlu saya ambil kira malah apa juga maklumat yang diperoleh saya akan masukkan di dalam projek ini kerana banyak kisah yang masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya sehingga membuatkan cerita Mat Kilau ini sangat misteri.
“Namun begitu, apa yang saya titik beratkan di sini ialah perjuangan yang dilakukan oleh Mat Kilau dalam menentang penjajah British serta semangatnya melawan mereka walaupun ketika itu usianya masih muda.
“Saya mahu menerapkan sikap dan semangat perjuangan yang perlu dikekalkan oleh generasi kini dan sikap itu saya lihat ada dalam diri Mat Kilau. Atas sebab itu saya memilih beliau sempena edisi istimewa Hari Merdeka ini,” katanya.
Dalam menyiapkan tugasan itu, Fariha turut merujuk kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Muzium Terengganu, Muzium Polis dan Muzium Tentera selain banyak bertemu dengan orang-orang yang pernah dan ada kaitan dengan kehidupan Mat Kilau.
“Pelbagai usaha dilakukan dan saya yakin mereka di luar sana juga tahu kehidupan Mat Kilau penuh misteri malah kubur sebenarnya juga tidak dapat dipastikan di mana. Selama kajian saya ada yang mengatakan ia terletak di Pahang dan ada juga di Thailand selepas beliau dibunuh tentera Siam,” katanya.
Fariha berkata, projek Mat Kilau: Sumpah Bahadur penuh dengan cabaran namun dia mahu penonton lebih fokus terhadap perjuangan yang beliau lakukan dalam mempertahankan negara daripada terus dijajah bangsa asing.
“Soal bilakah beliau lahir, meninggal dunia dan di manakah makam beliau yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini biarlah masing-masing yang menilaikannya,” katanya.-Metro
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.