Mencatat kemenangan bergaya membelasah Kedah 4-0 pada aksi Piala Malaysia
KUCHING:
Sarawak merampas kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D saingan Piala
Malaysia 2013 setelah mencatat kemenangan bergaya membelasah Kedah
dengan 4-0 di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin.
Biarpun
sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Darulaman
Selasa lalu, skuad Ngap Sayot tetap unggul dengan dua jaringan
diledakkan oleh Bobby Gonzales dan masing-masing satu gol daripada Zamri
Morshidi dan Muamer Salibasic.
Beraksi dalam stadium keramat
(Stadium Negeri) yang penuh, kedua-dua pasukan bermain dengan
berhati-hati pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, anak-anak
buah Robert Alberts menghadapi ancaman Kedah terutamanya pemain import,
Alan Guc yang hampir meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit
ke-11 namun percubaannya dihalang pertahanan Sarawak.
Justeru,
minit ke-21 menyaksikan Bobby yang merupakan ‘mesin gol’ Sarawak hampir
menjaringkan gol pendahuluan pasukan tuan rumah namun percubaannya
sedikit tersasar.
Bermula separuh masa kedua, Sarawak terus
mengancam kubu lawan dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit
ke-53 menerusi Zamri Morshidi selepas menerima hantaran cantik daripada
Bobby.
Sang Kenari yang tertekan terus dirundung malang apabila Muamer menjaringkan gol kedua dari jarak jauh pada minit ke-62.
Biarpun
mendahului 2- 0, pemain Sarawak terus ‘bernafsu’ untuk menyerang kubu
lawan dan hasilnya diperolehi pada minit ke-74 sekali lagi menerusi
Bobby.
Sarawak sepatutnya menjaringkan gol kelima namun jaringan Zamri pada minit ke-76 tidak dikira kerana ‘offsaid’.
Ketua
Jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang ditemui selepas perlawanan
berkata kemenangan menentang Kedah ternyata bermakna untuk mencerahkan
peluang pasukannya beraksi pada peringkat suku akhir Piala Malaysia
musim ini.
Bagaimanapun, menurut Alberts, anak-anak buahnya
bermain agak berhati-hati pada separuh masa pertama dan membolehkan
pasukan pelawat banyak merencanakan serangan.
“Kita mungkin boleh
menjaringkan gol awal pada babak pertama sekiranya peluang yang
diperolehi pemain-pemain dapat disempurnakan dengan baik.
“Namun,
permainan separuh masa pertama agak berhati-hati menyebabkan kedudukan
terikat dan kita terus bangkit pada babak kedua,” katanya.
Alberts berkata, penguasaan pasukannya hanya bermula pada separuh masa kedua dengan serangan bertali arus ke kubu pasukan lawan.
“Separuh
masa kedua menyaksikan kita menjaringkan empat gol… ini adalah ekoran
semangat berpasukan tinggi dan perjuangan kental yang ditampilkan oleh
semua pemain,” katanya.
Kempen Piala Malaysia 2013 berehat selama
dua minggu selepas perlawanan malam kelmarin (Sabtu) bagi memberi laluan
kepada kejohanan Pestabola Merdeka berlangsung di Pahang.
Saingan
Piala Malaysia akan bersambung semula pada 18 September nanti dan
Sarawak akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar, Singapura menentang
Lions XII FC.
Skuad Ngap Sayot 2013 menentang Perak di Stadium Negeri, Kuching pada 21 September depan bagi menutup saingan Kumpulan D.-borneopost
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.