PEMAIN tengah Sarawak, Putera Nadher (kiri) diasak pertahanan Sime Darby, Firdaus Faudzi pada aksi di Selayang malam kelmarin.
|
ATAS kertas, ranjau penuh berliku menanti Sime Darby selepas sekadar terikat tanpa jaringan dengan Sarawak dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2013 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.
Gagal memanfaatkan kelebihan di laman sendiri, skuad kendalian Ismail Zakaria itu kini tidak lagi mempunyai pilihan selain mengatasi Ngap Sayot dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sabtu ini.
Namun, ia bukan satu tugas yang mudah, lantaran The Giant Killer pernah 'dilibas' Bujang Senang dengan kekalahan tipis 0-1 di Kuching dalam aksi Liga Premier pada 10 Mei lalu hasil jaringan tunggal Bobby Gonzales.
Justeru, Ismail menuntut kebangkitan anak-anak buahnya Sabtu ini jika mereka berhasrat mahu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik bagi edisi kali ini.
"Saya sedar rekod pertemuan kedua-dua pasukan tidak berpihak kepada kami dalam saingan Liga Premier musim ini.
"Jadi, saya harap pemain dapat melupakan sejarah silam dan mampu mengatasi Sarawak di Kuching.
"Biarpun sukar, saya yakin pemain mampu menjelmakan kemenangan, sekali gus mara lebih jauh pada kempen kali ini," katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Ismail juga cenderung untuk tidak merombak pasukannya dalam aksi suku akhir kedua kelak.
"Jika ada pertukaran pun mungkin membabitkan satu dua pemain.
"Saya lebih gemar membuat pertukaran taktikal berbanding merombak pasukan kerana dikhuatiri menjejaskan persefahaman pemain," jelasnya.
Ismail juga mahu barisan pemainnya melupakan kekecewaan gagal memburu bekalan selesa selepas sekadar seri tanpa jaringan kelmarin.
"Bukan tiada peluang, cuma kami kurang bernasib baik menjaringkan gol.
"Namun, ia bukan bermakna perjuangan kami sudah berakhir kerana masih ada 90 minit di Kuching," katanya.
-kosmo-