SIBU: Seorang lelaki keturunan India maut dalam insiden kebakaran di sebuah rumah pekerja STIDC di Kilometer 90, Jalan Tanjung Manis-Sibu pagi semalam.
Mangsa, Ravendran Chrishnan, 50-an dipercayai mati di tempat kejadian selepas gagal menyelamatkan diri.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah Marshidi Taha berkata berdasarkan keadaan mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan rentung, dia dipercayai cuba keluar melalui jeriji pintu tetapi gagal.
Bomba mengeluarkan mayat mangsa sekitar jam 8.
20 pagi sebelum dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang bekerja sebagai perunding di situ sejak tiga tahun lalu.
Menurut maklumat awam, rumah pekerja berstruktur kayu dan berdinding abestos itu terbakar sekitar jam 6.50 pagi.
Difahamkan, mangsa berada di tingkat atas semasa kejadian manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di bahagian bawah rumah tersebut berjaya dikeluarkan oleh orang awam terlebih dahulu.
Balai Bomba Sungai Merah menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi terus mengerahkan 12 anggota menaiki sebuah jentera pemadam api dan dua unit utiliti.
Memandangkan lokasi kebakaran agak jauh, pihak bomba mengambil masa hampir satu jam iaitu pada jam 8.07 pagi untuk tiba di lokasi kejadian.
“Rumah tersebut sudah 60 peratus terbakar semasa pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” kata Marshidi.
Bagaimanapun, setelah api berjaya dikawal pada jam 8.30 pagi, rumah tersebut hanya tinggal rangka dan operasi tamat pada jam 8.40 pagi.
Punca dan jumlah kerugian kebakaran tersebut belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan.-.theborneopost.com-