Seorang maut nahas pesawat di Kudat


TERBABAS: Keadaan pesawat Twin Otter MASwings yang mendarat di luar landasan di Kudat, petang semalam.
KOTA KINABALU: Seorang terbunuh dalam nahas pesawat Twin Otter MASwings terhempas di Lapangan Terbang Kudat, Sabah, kata Malaysia Airlines (MAS).
MAS dalam kenyataan malam tadi, berkata nahas itu berlaku dalam kawasan Lapangan Terbang Kudat pada jam 2.50 petang.
Menurut kenyataan itu, jumlah yang cedera ialah lima orang dan jumlah penumpang dan krew dalam pesawat itu sebanyak 16 orang.
MAS berkata punca nahas sedang disiasat.
“Fokus syarikat penerbangan ialah memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang, krew dan pihak-pihak lain yang terjejas.
“MAS bersama-sama MASwings akan memantau keadaan di tempat kejadian dan memaklumkan perkembangan terkini,” menurut kenyataan itu.
Ini merupakan nahas pertama membabitkan MASwings di Kudat.
Keluarga penumpang pesawat itu diminta menghubungi 03-78841234 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut.
Kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah menjelaskan 11 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan tentang nahas itu.
Menurut jadual penerbangan MASwings dalam laman webnya, terdapat satu penerbangan dari Kota Kinabalu pada 2.
05 petang yang dijadual tiba di Kudat kira-kira 40 minit kemudian.
Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy Ramin berkata di Kota Kinabalu pesawat itu dinaiki 16 orang, dan menjunam di Kampung Sinsan, Kudat.
“Kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari pesawat dan dihantar ke Hospital Kudat untuk pemeriksaan perubatan,” katanya kepada Bernama Punca kemalangan itu masih disiasat, katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri mahu Jabatan Penerbangan Awam membuat siasatan segera berhubung kejadian itu.
“Saya difahamkan kejadian berlaku akibat angin kencang ketika pesawat itu mendarat dan tersasar dari landasan,” katanya ketika dihubungi Bernama. — Bernama

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes