Lelaki maut kereta hilang kawalan, rempuh pembahagi jalan

SERIAN: Seorang lelaki berusia 43 tahun maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan berhampiran Tarat, Jalan Kuching-Serian dekat sini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Stanley Percy dari Lorong Kedandi 4, Tabuan Jaya di Kuching.
Dalam insiden sekitar jam 5.30 petang itu, difahamkan mangsa dalam perjalanan balik ke Kuching.
Mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kereta apabila hilang kawalan lalu terbabas.
Kakitangan perubatan yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai akibat kecederaan di kepala. Mayatnya dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an hanya mengalami kecederaan ringan setelah kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung, di Jalan Mambong, semalam.
Difahamkan dalam insiden sekitar jam 12.30 hari itu, mangsa yang berasal dari Kampung Benuk gagal mengawal Perodua Viva yang dipandunya lalu menggelongsor ke dalam gaung.
Penduduk kampung yang ternampak insiden itu segera memberi bantuan mengeluarkan mangsa dan menghubungi pihak ambulans.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mentuanya di Kampung Sitang.
Bapa kepada dua anak itu dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.
-TheBorneoPost
Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes