AS sahkan pemimpin No 2 Al-Qaeda mati dalam serangan

ISLAMABAD: Amerika Syarikat mengesahkan pemimpin nombor dua Al-Qaeda, Abu Yahya Al-Libi, terbunuh dalam serangan dron yang dilancarkan di Pakistan, kelmarin.
Susulan perkembangan itu, Amerika menyifatkan ia sebagai tamparan hebat kepada gerakan pengganas itu sejak kematian Osama bin Laden pada Mei tahun lalu.
Al-Libi, 49 tahun, disifatkan pemimpin kedua tertinggi dalam hierarki Al-Qaeda selepas pengganti Osama, Ayman Al-Zawahiri.
Fail : Reuters

"Pemerintah Amerika Syarikat semalam mengesahkan kematian Al-Libi," kata jurucakap Rumah Putih, Encik Jay Carney, di Washington.
Al-Libi disahkan merupakan sasaran dalam serangan pesawat kawalan jauh Amerika, yang membunuh 15 orang di kawasan yang dikuasai puak tempatan di Waziristan Utara, iaiti kubu kuat Taleban dan Al-Qaeda di sempadan Afghanistan, pada Isnin lalu.
Al-Libi merupakan seorang warga Libya dan dikatakan bertanggungjawab dalam kempen propaganda sejagat Al-Qaeda.
"Kematian Abu Yahya Al-Libi merupakan tamparan hebat kepada tampuk kepimpinan Al-Qaeda, yang sukar untuk digantikan.
"Tiada sesiapa lagi dalam Al-Qaeda yang mempunyai kelayakan pendidikan, karisma peribadi dan keupayaan memimpin sekutu serantau Al-Qaeda dan gerakan sejagat yang lebih luas," kata seorang pengamat pengganasan, Encik Jarret Brachman, dari Universiti North Dakota.
Menurut Encik Brachman, Al-Libi bukan saja disegani malah turut disanjung oleh para pengikut Al-Qaeda.
Osama telah memberinya tanggungjawab menyelaraskan mesej yang ingin disampaikan melalui cabang media Al-Qaeda, As-Sahab.
Antara 2006 dengan 2008, Al-Libi telah mengedarkan 17 rakaman audio dan video yang melakarkan objektif jangka panjang dan sasaran pilihan Al-Qaeda.
Dia yang memastikan pengikut Al-Qaeda tidak menyimpang jauh daripada misi asal Osama.
Sebelum ini, Al-Libi berjaya melarikan diri daripada tahanan Amerika di pangkalan udara Bagram di Afghanistan pada 2005.
Amerika menawarkan ganjaran AS$1 juta ($1.2 juta) bagi penangkapannya.
Mengulas kematian Al-Libi, seorang pegawai pentadbiran Amerika pula berkata:
"Zawahiri tentunya akan sukar mencari pengganti yang mampu mengambil tempat Abu Yahya. Selain merupakan anggota lama Al-Qaeda, kelayakan agama Abu Yahya memberinya kuasa bagi mengeluarkan fatwa, meluluskan operasi dan memimpin kumpulan utama pengganas di Pakistan dan di kawasan sekitarnya.
"Tiada sesiapapun yang dapat menandingi kepakarannya yang kini sudah dihilang." - AFP, AP, Reuters.

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes