Home Simunjan Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Bujang Ulis meninggal dunia
Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Bujang Ulis meninggal dunia
By Permata Timur II At Februari 03, 2014 0
KUCHING: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, 66, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya di sini awal pagi ini.
Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama meninggalkan seorang isteri Maimunah Sebli, 58, dan tujuh orang anak perempuan berumur antara 12 hingga 36 tahun.
Menurut anak sulung Allahyarham, Siti Azimah, 36, bapanya rebah pada kira-kira 1 pagi di pangkuan ibunya ketika berada di dalam bilik, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.30 pagi.
“Arwah sempat menonton televisyen ketika di dalam bilik sebelum rebah di pangkuan ibu. Sepanjang pengetahuan kami sekeluarga, arwah ayah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman allahyarham.
Beliau berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat Zuhur hari ini.
Allahyarham sebenarnya mempunyai sembilan anak perempuan, bagaimanapun dua daripadanya meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Batu Kawa di sini pada malam terakhir bulan Ramadan 1998.
Antara yang dilihat hadir menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya ialah anggota Kabinet Sarawak antaranya Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais merangkap Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun Simunjan) dan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Adun Asajaya).
Turut hadir bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Jamil Johari.
Allahyarham yang nama sebenarnya Bujang @ Bujang Hadziri Ulis yang ketika itu anggota Parlimen Simunjan dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1980-1983 dan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran mulai 1984-1986.
Pada 1983, Allahyarham dipilih sebagai Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan undian tertinggi.
Bagaimanapun, Allahyarham mengisytiharkan keluar dari PBB pada 1986.
Sementara itu PAS Kawasan Petra Jaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta semua yang mengenali Allahyarham Bujang Ulis di atas pemergian beliau di kediamannya di Samariang pada jam 3 pagi tadi.
Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Petra Jaya, Syamsul Bahrie bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia itu merupakan seorang yang amat disegani dan dihormati di kalangan masyarakat di Sarawak.
“Sumbangan besar beliau di dalam membangunkan institusi pendidikan di Malaysia amatlah dihargai dan wajar dikenang. Tidak lupa juga sumbangan beliau di dalam dunia politik tanah air khususnya di Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Allahyarham merupakan bekas ahli Parlimen Simunjan yang mewakili Barisan Nasional setelah memenangi kerusi tersebut pada Pilihanraya Umum Malaysia tahun 1978.
Beliau telah meninggalkan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dan seterusnya menyertai Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) pada tahun 1978.
Beliau juga telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telah bertanding atas tiket parti tersebut pada Pilihanraya Negeri Sarawak 2001.
“Kita mendoakan agar roh beliau ditempatkan di tempat-tempat orang yang soleh.
“Nama dan sumbangan beliau akan terus terpahat di lembaran sejarah sebagai seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh membangunkan anak bangsa di Bumi Kenyalang ini,” kata Syamsul lagi.
Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/02/03/bekas-timbalan-menteri-pelajaran-bujang-ulis-meninggal-dunia/
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)