Salibasic kembali perkuat Sarawak


PRESTASI tidak menentu yang menyelubungi kem Sarawak dalam kempen Liga Super musim ini seperti sudah ada jalan penyelesaiannya.
Satu perkhabaran gembira buat skuad Bujang Senang apabila tonggak utama, Muamer Salibasic disahkan hampir seratus peratus pulih selepas lebih dua bulan berehat akibat kecederaan lutut.
Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts memberitahu, mereka dijangka akan menggunakan semula khidmat penyerang sensasi kelahiran Bosnia itu yang direhatkan pada pusingan kedua liga, 11 April ini.
Alberts berkata, Salibasic, 30, yang mengalami kecederaan serius di lutut kanannya pada aksi sulung musim ini ketika berhadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 18 Januari lalu sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada doktor yang merawatnya.
“Hasil laporan doktor, kecederaan Salibasic sudah berada pada tahap akhir untuk pulih sepenuhnya.
“Namun, kami tidak mahu terburu-buru menurunkannya dan dia dijangka diturunkan pada pusingan kedua liga nanti (11 April ini) ketika berhadapan Terengganu di gelanggang lawan,” kata Alberts ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau juga optimis kehadiran semula tonggak utama yang membantu Sarawak menjuarai trofi Liga Premier tahun lalu itu bakal membentuk satu kombinasi ampuh di bahagian serangan skuad Bujang Senang bersama-sama dua lagi rakan baharunya iaitu Hassan Mohamad, 25, dan Ryan Griffiths, 32.
Meskipun timbul isu bahawa Salibasic bakal dilepaskan sebelum ini, Alberts menegaskan bahawa beliau seboleh-bolehnya mahu Salibasic kekal di Sarawak kerana pemain itu mempunyai karakter tersendiri.
Dalam perkembangan lain, Alberts menjelaskan, kekosongan di posisi pertahanan tengah akibat penggantungan satu perlawanan Gabor Gyepes dalam pertemuan dengan Terengganu malam esok bakal diisi oleh Mohd. Hairol Mokhtar.
“Gyepes tidak dapat beraksi pada aksi menentang Terengganu, Jumaat ini (malam esok) kerana mengumpul tiga kad kuning dan digantung satu perlawanan.
“Ia tidak begitu membimbangkan kerana saya percaya Mohd. Hairol mampu menggalas tugas tersebut bersama-sama Ronny (Harun),” katanya.
Alberts berkata, kecederaan Mohd. Rashid Aya (penyerang) dan Mafry Balang (pertahanan) ketika bertemu Johor Darul Takzim (Johor DT), Sabtu lalu juga tidak membimbangkan dan mereka akan beraksi pada perlawanan menentang Terengganu.
Kini, Sarawak menghuni tangga ketujuh Liga Super dan akan turun dalam perlawanan ke-11 bertemu Terengganu di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
Sarawak sekadar mengutip satu mata sepanjang tiga aksi terakhir liga selepas tewas 1-3 kepada Pahang, 0-2 kepada Selangor dan terikat 1-1 dengan Johor DT.
Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes