KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem
enggan mengulas lanjut mengenai laporan media Indonesia yang menuduh
Malaysia merampas dan merancang membina rumah api di tanah milik mereka
dikenali sebagai Pulau Tanjung Datu.
Beliau berkata, situasi sebenar mengenai tuduhan itu masih
tidak diketahui dan agak sukar untuknya untuk membuat sebarang
kenyataan.
“Saya tidak dapat memberi komen mengenai perkara ini sehingga mengetahui mengenai situasi sebenar.
“Ini sahaja yang boleh saya beritahu ketika ini,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Padang Sintetik Yayasan Sarawak dan
Majlis Jamuan Petang Sempena Ulang Tahun Ke-43 Yayasan Sarawak semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
laporan media Indonesia yang menuduh Malaysia merampas tanah milik
Indonesia untuk membina rumah api di Pulau Tanjung Datu.
Ahad lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyangkal laporan media negara jiran itu.
Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada nama pulau yang
dimaksudkan itu wujud kerana sejarah hanya mencatatkan Tanjung Datu
berada dalam tanah Malaysia.
“Ini merupakan isu yang telah lama berlaku, kita masih
ingat beberapa tahun lepas ada juga tuduhan mengatakan Malaysia
mengambil 1,400 tanah di Camar Bulan, Kalimantan Barat berhadapan Teluk
Melano,” katanya.
Wan Junaidi berkata, biasanya isu tersebut tidak wujud
kerana sengaja ditimbulkan oleh ahli politik Indonesia ketika pilihan
raya.
“Sebenarnya tiada isu pun, ia hanya dibuat-buat kerana
kerajaan Indonesia mengetahui tanda di sepanjang sempadan Indonesia
berserta bacaan GSP,” ujarnya.
Malah Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana
Agus Suhartono dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak pernah merampas
tanah di Camar Bulan dan Tanjung Datu di Kalimantan Barat seperti
tuduhan sekumpulan rakyat republik itu.
Menurutnya, anggota TNI mengawai kawasan sempadan itu sesuai dengan perjanjian Indonesia-Malaysia.
Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu,
Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani
dan Pengarah Yayasan Sarawak Datu Abu Bakar Marzuki. -utusan borneo