TELUK INTAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan akan
diteruskan mengikut tarikh yang diwartakan pada 31 Mei ini, kata
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.
Pengumuman itu berikutan kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada Rabu.
Pengumuman itu berikutan kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada Rabu.
Beliau bagaimanapun berkata, suruhanjaya itu menasihatkan
semua yang terlibat dalam PRK Teluk Intan terutama parti politik yang
bertanding supaya menghormati Almarhum Sultan Perak dengan menjaga tutur
kata dan tingkat laku semasa berkempen.
“Selaras dengan kehendak undang-undang, SPR memutuskan
bahawa Pilihan Raya Kecil P.076 Teluk Intan akan diteruskan mengikut
tarikh yang diwartakan iaitu pada Sabtu 31 Mei 2014.
“Adalah disarankan semua pihak agar berkempen mengikut
kehendak undang-undang, peraturan dan tata etika pilihan raya tanpa
menimbulkan isu sensitif yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati
mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul
1.30 tengah hari Rabu dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam
Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada Khamis.
Berita kemangkatan Sultan Perak itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu
antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP,
Dyana Sofya Mohd Daud.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian
penyandanganya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu. Hari
mengundi PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini. -mstar