Home Sukan ASL tak dapat sambutan?
ASL tak dapat sambutan?
By Permata Timur II At Ogos 21, 2014 0
CADANGAN penganjuran ASEAN Super League (ASL) bermula tahun depan dikatakan tidak mendapat sambutan daripada 11 negara anggota gabungan.
Ini ekoran ada laporan yang dipetik daripada Atjehnews yang mendakwa bahawa Indonesia dan Thailand antara pasukan yang dikatakan tidak berminat untuk bertanding dalam kejohanan berprestij ASEAN itu selepas Piala AFF Suzuki.
Dalam laporan Atjehnews itu, Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI), Joko Driyono mendedahkan bahawa kedua-dua negara itu enggan terlibat dalam sebarang kejohanan ASL bermula tahun depan.
Meskipun penganjuran ASL mendapat sokongan penuh daripada Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim AL Khalifa, Joko bimbang penganjuran ASL bakal menjejaskan liga utama Indonesia.
Bagaimanapun, kenyataan Joko ditepis Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Ong-art Korsinkha yang memberitahu, pihaknya telah bersedia untuk memberikan sokongan terhadap penganjuran ASL 2015.
Biarpun FAT masih mempertimbangkan slot mereka beraksi pada ASL tetapi Korsinkha yakin yang pihaknya memiliki kemampuan untuk menghantar dua pasukan dalam liga tersebut.
Mengulas mengenai situasi itu, Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, penganjuran ASL sudah berada di fasa terakhir dan pihaknya bakal mengadakan sesi dialog bersama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam masa terdekat.
Azzuddin yang enggan menjelaskan tarikh sebenar perjumpaan dengan FIFA itu memberitahu, penganjuran ASL 2015 bakal terjawab sepenuhnya selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam tempoh terdekat.
Ini kerana beliau menyifatkan tugas AFF adalah mahu memastikan penganjuran Piala Suzuki AFF diiktiraf dalam kalendar AFC.
“Mungkin ada (negara yang tidak mahu bertanding dalam ASL). Kemungkinan itu ada tetapi buat masa ini, penganjuran ASL adalah mengikut perancangan seperti yang telah ditetapkan.
“Pihak AFF akan mengadakan sesi dialog bersama FIFA terlebih dulu sebelum mengumumkan pengkhususan terhadap penganjuran ASL dalam tempoh terdekat nanti.
“Saya yakin semua pihak teruja untuk menyaksikan kejohanan berprestij ini. Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, idea ASL ini telah mendapat sambutan baik daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi FAM mahu mengkaji terlebih dulu perjalanan liga yang dirancangkan itu sebelum membuat keputusan menentukan pasukan mana yang layak dihantar beraksi.
Dalam ASL ini, setiap negara boleh menghantar maksimum dua pasukan dan liga ini akan berjalan selama lapan bulan.
Jika semua 11 negara ASEAN bersetuju menghantar dua pasukan, bermakna ada 22 pasukan yang akan mengambil bahagian tetapi jumlah penyertaan sebenar bergantung kepada kesediaan setiap negara.
Sama ada mereka mahu membentuk pasukan baharu atau mengambil kelab daripada liga sedia ada, perkara itu terserah kepada persatuan bola sepak negara masing-masing tetapi mereka tidak boleh bertanding dalam liga tempatan jika bersetuju menyertai ASL 2015.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.