Negeri Santubong dan Negeri Sarawak




            Kesejarahan Negeri Sarawak seperti berada di depan mata.  Sumber bumiputera, arkeologi dan tarafnya yang sentiasa penting dalam merentasi semua masa dan ruang sejarah silam hingga sekarang tetapi gagal dilihat dengan cepat. Selepas menemui semula Syair Tarsilah Cetera Dato’ Gudam dan Temenggong Abdul Kadir Negeri Saribas pada tahun 2005 dan setelah mengkajinya beberapa tahun baharulah mata hati terlihat Hikayat Datuk Merpati yang telahpun diterbitkan sebagai karya sejarah mengenai Negeri Sarawak lama. Datuk Merpati dan saudaranya berasal dari sebuah gunung berapi di Pulau Jawa dan mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu.  Pada suatu hari mereka membantu Datuk Kuli dan Datuk Kuali yang terdampar di tanjung itu di mana mereka kemudian mengundang Datuk Merpati pindah ke Sungai Sarawak.  Bagaimanapun dalam perjalanan itu Datuk Merpati mengubah fikiran:
Alkisah maka tersebutlah cerita Datuk Merpati membuka negeri di Kuala Santubong. Tiada antara berapa lama sesudah dia diam di situ, Datuk Permaisuri Kemala pun melahirkan seorang anak perempuan.  Telah diberinya nama anak itu Dayang Seri Bulan.  Maka telah sukalah hati Datuk Merpati kerana melihat anak perempuannya itu. Merpati Jepang juga suka melihat adiknya.  Bertambah sukalah ahli kaum kerabat di dalam negeri itu.

Pada suatu masa Datuk Merpati dan Datuk Permaisuri Kemala telah menyelamatkan diri ke Brunei kerana diserang oleh Pego.  Di Brunei Datuk Merpati bertemu dengan Samacun.  Setelah diuji kekuatannya telah berjaya panglima dan ditugaskan menjaga anak Datuk Merpati, Dayang Seri Bulan yang kemudian berkahwin dengan Sultan Bungsu dari Selangor. Dalam pada itu anak lelaki Datuk Merpati, Merpati Jepang telah dewasa dan mentadbir negeri Santubong ”beroleh pupu kebanyakan” dan pandai membawa kaumnya.”

            Sejauh manakah kesejarahan Hikayat Datuk Merpati?  Datuk Merpati yang dinukilkan berasal dari Jawa mungkin juga melambangkan  pengaruh Majapahit di Sarawak seperti yang dibuktikan dalam Negarakertagama sebelum tahun 1365.  Nama Merpati mungkin korupsi Parpatih dalam Datuk Parpatih nan Sabatang dalam masyarakat di Dunia Melayu dan ”Merpatih” dalam masyarakat Minangkabau.  Mungkin yang lebih dekat ialah nama tempat di Jawa pada masa kejatuhan Majapahit dan kebangkitan Demak seperti dinyatakan, ”meletakkan Pangeran Benowo sebagai Raja Jipang-panolan.”

Salah sebuah kawasan di dalam wilayah kebudayaan Sarawak yang terbukti pernah menjadi negeri ialah di Kuala Sungai Sarawak yang besar yang dikenali sebagai Santubong. Malah di sini merupakan kawasan pertama dilakukan kerja-kerja arkeologi bukan saja dalam konteks Sarawak baru dan lama tetapi juga dalam konteks keseluruhan pulau Borneo yang besar ini.  Tanda-tanda tentang peri pentingnya kawasan Santubong sebenar dicetuskan oleh penemuan Nandi dan Yoni oleh James Brooke tidak lama setelah menjadi “raja” Sarawak, sebelum berlakunya pemberontakan China pada tahun 1857. Selain daripada jumpaan batu besar ini James Brooke juga mengumpulkan artifak-artifak emas. Penemuan artifak yang diperbuat dari emas ini menunjukkan bahawa kawasan ini menarik perhatian orang asing, khususnya orang dari India pada peringkat awal.  Mungkin oleh kerana adanya emas, bukan saja di lembah Sungai Sarawak tetapi juga di bahagian barat-daya Borneo, kawasan yang terbanyak mengandungi emas daripada tempat-tempat lain di kepulauan Melayu, telah dikaitkan dengan nama-tempat Survanabhumi (Bumi Emas) oleh orang India dan juga sebagai Iabadiou oleh Ptolemy pada c.150ES.
            Penemuan awal ini telah memberi perangsang kepada Muzium Sarawak untuk melakukan kajian arkeologi. Pada tahun 1949, di bawah pimpinan Tom Harrisson, telah berhasil mengumpulkan ribuan pecahan tembikar China di Santubong. Hasil dari kajian yang dilakukan ke atas tembikar ini serta artifak-artifak keagamaan Hindu mereka berpendapat bahawa Santubong sebagai politi sudah wujud sejak abad ke 7 lagi dan terus kekal hingga abad ke-10atau abad ke-14. Di samping itu adanya tahi besi (iron-slag yang dianggarkan sebanyak 40,000 tanmenguatkan pendapat bahawa kawasan Santubong ini merupakan kota-pelabuhan yang besar dan penting.  Setelah dikaji oleh kedua orang pakar ini mereka berpendapat bahawa industri ini wujud di antara tahun 900ES hingga 1350ES. Bagaimanapun mengikut O.W. Wolters, seorang sejarawan Asia Tenggara tua, China mungkin telah mengetahui tahi besi ini sejak abad ke 3 lagi dengan mentafsirkan bahawa pulau Tan-lan yang disebut dalam laporan China itu terletak di barat-daya Sarawak. Jika tafsiran sejarawan terkenal ini betul mungkin Tan-lan yang menghasilkan besi ini ialah Pulau Talang-Talang tetapi ahli arkeologi, mahupun Muzium Sarawak tidak pernah mengaitkan pulau ini dengan penemuan tahi besi di kawasan Santubong walaupun pulau ini tidaklah begitu jauh dari tempat tersebut.
            Penemuan bahan-bahan arkeologi di kawasan Santubong ini telah mencetuskan berbagai pentafsiran dan pendapat.  Ahli-ahli arkeologi kecuali Jan Wisseman Christie berpendapat bahawa kawasan ini sudah menjadi bandar-pelabuhan penting sejak abad ke-7 hingga abad ke-14.  Jan Wisseman Christie sebaliknya berpendapat bahawa Santubong muncul pada akhir abad ke-10 dan terus wujud hingga abad ke-14. Tentang kepentingan dan peranan kota-pelabuhan ini secara am dipersetujui oleh penyelidik-penyelidik dan pentafsiran yang lebih jelas dan terbaru ialah dari Jan Wisseman Christie:
Santubong is a complex of port sites in the Sarawak river delta which rivals in site and richness found in the Muda and Merbok valleys of Kedah.  It is undoubtedly the remains of the port-capital of the state of Po-ni … The port was evidently founded in this region in the later tenth century, when it comprised only of one residential site, Sungei Jaong, and an associated burial ground nearby at Tanjong Kubor.”
Selepas itu terdapat pula pusat petempatan lain di sekitar Santubong seperti di Bongkissam.  Bagaimanapun politi-politi ini kemudian dikuasai oleh Santubong yang menjadi sebuah negeri di kawasan ini.
            Dari kajian yang dilakukan ke atas ribuan serpihan tembikar China negeri Santubong ini terus wujud hingga ke abad ke 14. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan tulisan China Nan-hai-chih yang menyenaraikan kerajaan-kerajaan tua di Borneo pada tahun 1304. Pada masa ini Brunei yang ditulis oleh China sebagai Tung-yang Fo-ni jelas sekali menguasai keseluruhan utara Borneo.  Di antara politi-politi yang berada di bawahnya dan yang terkandung di dalam wilayah kebudayaan Sarawak ialah Sha-hu-chung. Carrie Brown mentafsirkan bahawa Sha-hu-chung ini mungkin Saludung yang terletak di pantai timur Borneo. Bagaimanapun penulis ini berpendapat bahawa dari segi urutan tempat-tempat yang dikuasai oleh Po-ni.  Ini lebih sesuai ianya merujuk kepada Santubong, di samping itu Saludung sehingga kini tidak mempunyai bahan arkeologi seperti yang terdapat di Santubong. Sha hu chung dalam Mandarin, bahasa rasmi dan tulisan orang China, bererti ”lautan batu karang” dan adalah tidak betul jika sebutannya diubah kepada san choo bong, sebutan Melayu dalam dialek Hakka yang bererti ”king of wild pig”.
Sumber Jawa, Negarakartagama yang ditulis pada tahun 1365 menunjukkan bahawa Brunei (Bo-ni) telah dikuasai pula oleh Majapahit.  Permulaan perluasan Majapahit ini dipercayai berlaku pada tahun 1350  dan ini menyebabkan perdagangan dengan China di Santubong terhenti seperti yang terbukti dengan tembikar-tembikar yang dijumpai tidak menunjukkan tembikar Ming. Santubong sebagai nama politi juga turut hilang dan digantikan oleh nama baru, iaitu Sawaku (Sarawak) di dalam Negarakartagama. Kehadiran Majapahit mungkin telah menyebabkan perpindahan penduduk  negeri Santubong ini kepada politi-politi lain seperti Sadong dan Gedong.

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes