Parlimen Britain iktiraf negara Palestin


LONDON – Parlimen Britain semalam memilih untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang disifatkan langkah simbolik untuk meningkatkan tekanan supaya krisis Palestin-Israel diselesaikan melalui penubuhan dua negara.
Seramai 274 anggota Parlimen mengundi menyokong usul tersebut manakala 12 yang lain menentang.
Usul itu mengiktiraf Palestin dan Israel sebagai negara berasi­ngan dalam usaha untuk menamatkan krisis Asia Barat yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Keputusan Parlimen Britain itu dilihat akan meningkatkan sokongan global berhubung penubuhan negara Palestin.
Perkembangan positif itu berlaku selepas kerajaan Sweden mengumumkan akan mengiktiraf negara Palestin. Sweden merupakan anggota EU pertama di Eropah Barat yang berbuat demikan sekali gus mengundang kemarahan rejim Zionis.
Kerajaan Britain bagaimanapun tidak terikat dengan keputusan Parlimen tersebut. London sebaliknya menyatakan pihaknya hanya akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada masa yang sesuai.
“Aspirasi rakyat Palestin tidak akan tercapai melainkan pendudukan Israel (ke atas Tebing Barat) berakhir dan kami percaya ia hanya akan dicapai menerusi rundingan,” kata Menteri Asia Barat, Tobias Ellwood.
Sebelum ini, pihak berkuasa Palestin menganggarkan sejumlah 134 buah negara telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara walaupun angka tersebut dipertikai, manakala beberapa pengiktirafan itu pula dibuat pada era Kesatuan Soviet.
Palestin yang terdiri daripada wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel dan Genting Gaza mahu menubuhkan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. – Agensi

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes