Asal usul nama Mukah wujud sekitar abad ke 17 apabila pedagang-pedagang yang datang ke Mukah untuk berniaga menurut Encik Bonaventure Hamdan Buyun seorang pengkaji sejarah Melanau.
Pada masa tersebut kawasan Mukah hanya dipanggil sebagai negeri 'Melano' sahaja. Sungguhpun begitu kawasan Mukah telah diduduki oleh orang-orang Melano beratus-ratus tahun lamanya sebelum pemimpin bernama Tugau dikalahkan oleh orang-orang Brunei.
Pada suatu waktu datanglah kapal pedagang-pedagang dari Tanah Arab (Timur Tengah) ke kuala Sungai Melano (Sungai Mukah). Pedangang-pedagang dikatakan sampai ke kuala sungai pada waktu malam. Sebelum mereka dibenarkan masuk ke kuala, mereka terpaksa berlabuh di luar muara dahulu.
Pada masa tersebut bulan sedang mengambang dengan indahnya di langit. Nakhoda kapal dan anak-anak buahnya keluar ke haluan perahu untuk melihat kawasan sekitar pantai tersebut. Sedang mereka asyik menikmati pemandangan pantai Mukah, tiba-tiba mereka terpandang wajah seorang wanita di tepi pantai tersebut.
Wanita tersebut sedang berdiri sambil memandang ke arah kapal mereka. Wajah wanita tersebut sangat cantik dipandang, sama seperti bulan yang sedang mengambang penuh.
Melihat wajah wanita tersebut, nakhoda dan anak-anak kapalnya seolah-olah terpukau oleh kecantikannya. Tidak lama kemudian wanita tersebut hilang dari pandangan mereka di celah pokok-pokok yang meribun di pinggir pantai. Nakhoda tersebut terpegun seketika dengan pengalamannya itu.
Keesokan paginya kapal tersebut pun masuk ke Mukah. Nakhoda bertanyakan kepada penduduk apakah nama tempat tersebut. Orang tempatan menyatakan tempat tersebut tiada bernama dan hanya dipanggil sebagai kawasan Melano sahaja. Nakhoda tersebut lalu teringat akan wajah dan muka wanita cantik yang dilihatnya malam semalam.
Lalu nakhoda kapal terfikir untuk menamakan kawasan tersebut sebagai 'MUKA' sempena muka atau wajah perempuan cantik yang pertama dilihatnya semasa masuk ke kawasan itu. Hal ini telah diberitahu kepada orang ramai dan mereka nampaknya bersetuju dengan nama yang diberikan.
Lama kelamaan akibat perubahan masa dan pelat orang tempatan maka sebutan 'muka' telah beralih kepada 'Mukah'.
Home Sejarah Sarawak Asal Usul Nama Mukah
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.