Jika
disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan
menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan
serangannya keatas manusia lebih-lebih lagi di sepanjang Sungai Batang Lupar,
Sri Aman, Sarawak. Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa
ada cerita mitos mengenai apa itu buaya keramat bernama bujang senang
mengikut cerita-ceriti masyarakat setempat yang mendiami sekitar
persisiran Sungai Batang Lupar. Mungkin cerita legenda buaya bujang
senang ini adalah cerita sebenar yang kemudian ditokok tambah bagi
mengindahkan penceritaan hanya Yang Maha Esa sahaja mengetahui halnya.
Diriwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua di dalam masyarakat
Iban yang mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus
tahun dahulu ketika adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi
diamalkan di dalam masyarakat pribumi telah gah seorang pahlawan Iban
yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini diceritakan sebagai seorang
pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau menyertai ekspedisi
mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun, Dikatakan
bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala musuhnya dan
kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun
sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu
tidak lut senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan
dengan mudah membunuh musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan
pada dirinya. Perkara akan hal kebalnya pahlawan Lungu ini telah
menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk mencari kelemahannya agar
mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.
Pada satu
ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri
kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah
mereka mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu
telah diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada
Sungai Batang Lupar. Apabila mengetahui bahawa isterinya telah diculik
maka marahlah Lungu dan beliau dengan seorang diri telah mengejar
penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang Lupar. Seketika di
dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh Lungu
demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan
kepada keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja
membuka rahsia bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui
rahsia kelemahan Lungu, musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan
isteri Lungu namun apabila isteri Lungu terlerai dari ikatan tali pada
tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh Lungu telah membaling
tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang tidak
berdosa itu.
Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah
naik berang lalu bertarung dengan musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa
Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya telah bocor di tangan
musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja mengajak Lungu untuk
bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan Lungu tidak
menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam
sungai. Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas
kematian isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya
lagi dan terus bertarung. Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling
tombak dan kemudiannya Lungu tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu
yang luka parah akibat ditombak, jasad Lungu juga disula terbalik dan
mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai Batang Lupar agar
ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila air
pasang kelak.
Diriwayatkan bahawa mayat kedua-dua pasangan
suami isteri iaitu Lungu dan isterinya setelah air pasang telah bertukar
menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya besar ini mempunyai
tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai Bujang
Senang. Mengikut cerita orangtua, buaya Bujang Senang ini telah
bersumpah akan menuntut bela atas kematian mereka dengan akan menjadikan
setiap generasi yang berkaitan dengan musuh-musuh yang telah membunuh
mereka sebagai korban. Sehingga sekarang masyarakat setempat di sekitar
Sungai Batang Lupar masih lagi mempercayai bahawa buaya Bujang Senang
itu tidak mati kerana dia adalah buaya keramat penghuni Sungai Batang
Lupar.
Inilah sekelumit cerita legenda buaya Bujang Senang
yang amat terkenal di Sarawak. Ramai manusia yang telah menjadi
mangsanya dan kita masih lagi tidak mengetahui samada benar atau tidak
bahawa Bujang Senang telahpun terkorban seperti yang diwar-warkan pada
tahun 1992. Sama-samalah kita berdoa agar semua mangsa-mangsa korban
buaya Bujang Senang yang lepas-lepas tenang disisi Tuhan Yang Maha Esa.
Amin.
Sumber : RJ
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.