Sadong Jaya terkenal dengan aktiviti pertanian seperti kelapa, kelapa sawit, pisang, nenas, limau, penternakan ikan, udang, ayam dan sebagainya.
Jambatan Batang Sadong kini salah satu ikon merentasi Batang Sadong.Penduduknya masih bergantung kepada sektor pertanian sebagai punca pendapatan utama mereka.
Sebelum diberi nama Sadong Jaya, pada asalnya penempatan ini dikenali sebagai Pendam. Pendam di dalam dialek orang tempatan bermaksud kubur. Bunyi agak seram kan?
Pada mulanya kawasan ini telah diterokai oleh beberapa orang penduduk dari Sebangan. Selain dari berkebun, penerokaan ini juga bertujuan untuk membuka penempatan baru untuk penduduk Sebangan.
Mengikut mitos kira-kira lebih 100 tahun dahulu, sekumpulan orang Iban telah datang mendiami kawasan ini. Mereka mendirikan rumah panjang dan tinggal bersama-sama dan tinggal di situ.
Untuk menyara hidup mereka bertananam padi dan bekerja sebagai petani sepanjang masa. Setelah beberapa tahun tinggal di kawasan ini, suatu ketika berlakulah mala petaka di mana tanaman padi mereka yang sedang masak hanya menunggu masa untuk dituai habis dimusnah dimakan oleh seekor ular yang sangat besar.
Kononnya ular berkenaan turun dari langit (andaian mereka). Penduduk Iban telah berang dan sangat marah serta bertekad untuk membunuh ular yang telah memakan padi mereka. Pada malam berikutnya, ketua rumah panjang mengajak semua kaum lelaki bersedia dan menunggu kedatangan ular tersebut.
Setelah menunggu semalaman ular itupun muncul hendak memakan padi maka mereka pun membunuh pun membunuh ular tersebut.
Mereka sangat gembira kerana berjaya membunuh ular itu dan seterusnya membahagikan ular itu untuk dimakan. Semua yang telah memakan ular itu telah menemui ajal kecuali seorang wanita yang sarat mengandung masih hidup kerana tidak memakan ular itu.
Wanita itu telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan kediaman serta mudik ke hulu sungai. Disebabkan tragedi kematian kaum keluarga beramai-ramai itu maka wujudlah perkataan “PENDAM” yang bermaksud kawasan perkuburan bagi orang Iban.
Mengikut cerita orang yang mula-mula meneroka Kampung Pendam ini masih menjumpai tanda-tanda kesan Pendam Iban seperti mana cerita di atas. Walau bagaimanapun ianya terhakis akibat keadaan sungai yang ada sekarang (Sungai Pendam).
Kini nama Pendam hanya tinggal kenangan kerana telah ditukar kepada “SADONG JAYA”. Arus pembangunan atas dasar perkembangan politik , perkataan atau nama “Pendam” itu tidak begitu sesuai didengar di kalangan masyarakat umum. Maka pada pada 04.08.1985 Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Datuk Patinggi pada masa itu) mengisytiharkan bahawa Kampung PENDAM ditukar kepada SADONG JAYA (sempena nama Batang Sadong)setelah mengikut jejak NONOK menjadi ASAJAYA. Pengisytiharan itu diumumkan beliau sendiri di Majlis Bertemu Rakyat bertempat di Madrasah Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya. Mengikut pemimpin masyarakat di sini, perkataan “Sadong” diambil sempena bentuk geografi kawasan kawasan ini iaitu, berhampiran dengan Batang Sadong (daripada Kuala Sadong menganjur ke Laut China Selatan) dan perkataan “Jaya” yang pastinya menjanjikan kejayaan yang berkekalan.
Sumber rujukan :
http://sadongjaya.pi1m.my/index.php/warga-pi1m/maklumat-pi1m/sejarah http://kameksayangsamarahan.blogspot.my/2015/01/asal-usul-nama-sadong-jaya.html
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.