Wanita Gelang Kaki Terakhir



Warisan 400 tahun.
 Menurut adat masyarakat Bidayuh, seseorang wanita itu akan dipandang tinggi terutama untuk mencari calon suami jika mereka memakai perhiasan gegelang itu yang menjadi antara perkara asas untuk dilihat oleh calon mertua mereka.
Pemakaian aksesori gegelang tembaga pada pergelangan tangan dan bahagian betis kaki dalam kalangan wanita Bidayuh menggambarkan status dan lambang kecantikan kepada si pemakai. Gegelang berbentuk seperti spring dan agak padat itu mempunyai berat kira-kira dua kilogram setiap satu dan perlu dipakai sepanjang masa sehingga mereka meningkat dewasa.
Dalam kalangan masyarakat Bidayuh, wanita yang memakai aksesori itu dianggap sebagai orang-orang berada atau kaya kerana nilai untuk memperoleh gegelang tembaga itu sukar ke­rana harganya yang mahal.
Masyarakat Bidayuh pada masa dahulu menggunakan sistem barter atau tukar barang dengan hasil pertanian seperti beras untuk mendapatkan tembaga yang dibawa oleh para pedagang luar.
Bahan tembaga biasanya ditukar dengan hasil pertanian daripada pedagang dari China sebelum tembaga itu dihantar kepada pakar tembaga untuk diproses menjadi menjadi rasung dan ruyang.
Ketika itu masyarakat zaman dahulu tidak menggunakan nilai mata wang, sebaliknya membayar upah pembuat lasung dengan seekor babi yang cukup matang sebagai bayaran.
Bagi wanita dalam masyarakat Bidayuh, mereka yang memakai gegelang tembaga itu tidak pernah membukanya kecuali untuk membersihkan aksesori tersebut dan memakainya semula. Justeru, seperti apa yang dapat dilihat, kesan daripada pemakaian rasung dan ruyang ini secara berterusan akan menyebabkan bahagian kaki dan tangan si pemakai menjadi kurus serta kecil dan ia dianggap sebagai suatu simbol kecan­tikan.
Pada zaman dahulu, amalan pagan atau animisme masih diamalkan dan masyarakat Bidayuh percaya bahawa hanya wanita yang memakai gegelang tembaga sahaja yang dibenarkan untuk menghadiri upacara perayaan selain turut serta dalam melakukan ritual Rejang atau Tarian Helang.

Pemakaian rasung dan ru­yang itu turut mempunyai beberapa pantang larang yang harus dijaga rapi dan dituruti, misalnya jika terdapat kematian dalam keluarga, perhiasan gegelung tembaga itu perlu ditanggalkan bagi menghormati si mati dan perlu berkabung selama tiga bulan. Masyarakat Bidayuh yang menghuni bumi Sarawak iaitu negeri terbesar di Malaysia ba­nyak mendiami kawasan barat daya seperti di daerah Serian Bau dan Sarikei serta di sempadan antara Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.
Rujukan :Kosmo
Gambar : Harry Tombas & Awaeang Kwasin
                 

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes