NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Seorang saintis AS, Steven Waller
percaya ilusi audio mencetuskan inspirasi kepada masyarakat purba untuk
membina struktur batu Stonehenge di England.
Diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, bulatan bongkah batu berusia
5,000 tahun di Britain itu menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung
tujuan struktur berkenaan dibina.
Antara lain ia didakwa berfungsi sebagai sebuah balai cerap kuno, kuil matahari atau tempat penyembuhan.
Namun, kata Waller, sejenis kesan gelombang bunyi yang diketahui para
saintis pada masa kini tetapi menjadi misteri kepada manusia kuno,
menyebabkan mereka membina Stonehenge.
Kesan tersebut dikenali sebagai interferens akustik.
Ia berlaku apabila dua sumber bunyi seperti dua peniup alat muzik beg
paip memainkan nota sama pada masa yang sama tetapi di lokasi berbeza di
sebuah kawasan lapang.
Apabila seseorang melalui beberapa sudut di kawasan lapang tersebut, dia
akan mendengar kesan bunyi yang amat perlahan dan hampir tidak
kedengaran disebabkan gelombang bunyi kedua-dua beg paip tersebut
berlanggar dan melantun.
“Seolah-olah terdapat bongkah misteri yang menghalang bunyi tersebut.
Begitu juga dengan bunyi guruh, dua bunyi guruh serentak bukan menjadi
lebih kuat. Fenomena ini sukar diterangkan pada zaman dahulu,” kata
Waller.
Menurutnya, masyarakat dahulu kala yang merasai kesan itu bertindak
membina struktur batu Stonehenge bagi menggambarkan fenomena tersebut.
Stonehenge terdiri daripada bulatan batu yang mengandungi 17 bongkah
batu menegak seberat sehingga 45 tan. Bulatan batu itu ditutup dengan
enam batu melintang yang didirikan menghala ke arah matahari terbit pada
solsetis musim panas di daerah Wiltshire, England
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.