Air Mata Kegembiraan Joseph

Ben Martin (Dari Sarawak bermain untuk KL FA ) dan Joseph (Pemain Sarawak FA)
SEBAIK wisel penamat dibunyikan di Stadium Negeri Petra Jaya Kuching malam Isnin lepas pemain sayap Sarawak, Joseph Kallang Tie, 26, tidak dapat meraikan detik juara bersama rakan-rakannya kerana menangis hampir 10 minit. Ketika rakan-rakan yang lain bersorak kegirangan, Joseph keseorangan berada di tengah-tengah padang sambil menundukkan kepalanya. Beliau tidak dapat menahan perasaan yang terlalu gembira, lalu menangis teresak-esak.

Selepas itu barulah rakannya, Shahrol Saperi dan Zamri Morshidi mendekatinya, lantas mereka pun saling berpelukan. Joseph mula melaungkan, sambil menangis: “Kita juara Rol (Shahrol).” Shahrol dan Zamri cuba memujuknya dan selepas itu barulah Joseph menyertai rakan-rakan yang lain bersorak kegembiraan. “Sukar untuk menggambarkan perasaan saya... amat gembira,” kata Joseph.

“Syukurlah kami akhirnya juara kerana itulah impian dan hasrat saya apabila saya kembali bersama pasukan Sarawak,” jelasnya. Sebelum ini, Joseph pernah membantu PDRM menjuarai Liga Perdana 2008 dan membantu Terengganu menjuarai Piala FA pada 2011. Joseph juga membantu Terengganu ke final Piala Malaysia 2011.

Namun bagi Joseph perasaan juara bersama Sarawak adalah lain daripada yang lain. “Apabila anda menjuarai trofi bersama pasukan di mana anda lahir... rasanya adalah lain, ia terlalu istimewa,” kata Joseph yang pernah bersama pasukan Malaysia menentang Chelsea dan Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Menurut Joseph adalah menjadi cita-citanya untuk membantu Sarawak setelah menabur bakti dengan pasukan Terengganu selama tiga musim. Kini hasrat anak kelahiran Long Ikang, Baram itu tercapai. Dalam perlawanan penentu juara malam kelmarin menyaksikan Sarawak menang besar 4-0 dan Joseph menjaringkan gol yang ketiga melalui gerak solo dari bahagian sayap.

-UTUSAN  SARAWAK-

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes