Innova dinaiki enam kakitangan bertembung lori balak dekat Betong, dua lagi parah
REMUK
TERUK: Kereta Innova yang dinaiki enam kakitangan JAKIM remuk teruk
dalam kemalangan dengan lori balak di Kilometer 45 Jalan Sri
Aman-Sarikei, petang semalam.
TRAGIS:
Lori balak yang melintang di jalan selepas berlanggar dengan kereta
Innova yang mengorbankan empat kakitangan JAKIM, petang semalam.
SRI AMAN: Empat kakitangan termasuk Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori balak di Kilometer 45 Jalan Sri Aman-Sarikei, petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3.20 petang itu, MPV jenis Toyota Innova dinaiki enam kakitangan JAKIM yang sedang dalam perjalanan menuju ke Betong dari Kuching berlanggar dari arah bertentangan dengan lori balak yang menghala ke Kuching.
Akibat pelanggaran di kawasan selekoh tersebut, MPV itu dikatakan remuk teruk di bahagian kanan menyebabkan tiga wanita dan seorang lelaki maut di tempat kejadian, manakala dua lagi lelaki cedera parah.
Empat mangsa yang terkorban ialah pemandu Ibrahim Hailee, 35, yang juga Penolong Pengarah JAKIM Sarawak, Halimah Hamree, 30, Qurratu Aini Rolfandy, 23, dan Harliani Hanani, 29.
Dua mangsa yang cedera parah, Mohd Firdaus Ahmat, 23, dan Fakih Ikhwan dikejarkan ke Hospital Umum Kuching (HUS) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.
“Empat mangsa iaitu seorang lelaki dan tiga wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa (lelaki) yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Umum Kuching,” katanya.
Difahamkan juga, kesemua kakitangan JAKIM tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Betong untuk menghadiri satu majlis keagamaan.
Sementara itu, pemandu lori bersama seorang kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Seramai enam anggota Balai bomba dan Penyelamat Sri Aman yang diketuai PBK II Hamden Bladi bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian.
Operasi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit bermula dari jam 3.50 petang dengan mangsa terakhir dikeluarkan pada jam 4.30 petang.
-theborneopost-
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.