Lupakan pesta kemenangan

BARISAN pemain Sarawak diarah melupakan pesta kemenangan besar (6-1) ke atas Perak Sabtu lalu bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan suku akhir pertama menentang Sime Darby di Selayang Sabtu ini.


Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman menjelaskan tugasan yang lebih mencabar menunggu para pemain. “Syabas buat para pemain kerana telah melepasi halangan awal (ke suku akhir)... tetapi cabaran yang menunggu selepas ini amat mencabar,” jelasnya. “Saya berharap para pemain fokus sepenuhnya, dan saya percaya keupayaan para pemain mampu memberikan keputusan yang positif,” ujar Sudarsono.

 Mengenai peluang Sarawak untuk ke separuh akhir Sudarsono menjelaskan ia adalah seimbang. “Memang Sarawak mempunyai rekod baik ketika menentang Sime Darby, namun harus diingat ia tidak lagi boleh dijadikan panduan untuk aksi suku akhir,” katanya. Sarawak menang 1-0 di Kuching dan seri 0-0 di Selayang ketika menentang Sime Darby dalam perlawanan Liga Perdana 2013. Sime Darby yang menduduki tempat kedua liga merupakan pencaabar utama Sarawak dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana yang akhir menjadi milik Sarawak.

Sudarsono memberi pesanan kepada para pemain agar terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasi masing-masing. “Untuk meneruskan perjuangan kita perlu terus gigih membentuk kekuatan,” ujarnya. Skuad Sarawak menyambung semula sesi latihan petang semalam dan akan berangkat ke Kuala Lumpur Jumaat ini. Sementara itu Sudarsono melahirkan rasa bangga terhadap sokongan padu yang diberikan para penyokong sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.

 “Saya mewakili pihak pengurusan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peminat atas sokongan. Kejayaan setakat ini adalah juga untuk anda semua,” katanya. “Dengan kesempatan ini juga bagi pihak FAS, saya memohon maaf kepada segelintir peminat yang tidak dapat masuk ke stadium walaupun sudah membeli tiket masuk,” ujar Sudarsono
Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes