Pelajar UiTM buang bayi di loji kumbahan & teman lelakinya dikesan

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya mengesan suspek utama yang terlibat kes pembuangan mayat bayi yang ditemui di dalam loji kumbahan di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asistan Komisioner K. Manoharan berkata, hasil pemeriksaan di asrama milik seorang pelajar perempuan awal pagi tadi pihak universiti menemui kesan darah dan tidak menolak kemungkinan ia milik pelajar berkenaan.
“Pelajar yang berusia 19 tahun itu kini dihantar ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut, kita juga sedang melihat aspek kesihatan, psikologi dan sampel darah pelajar berkenaan.
“Pelajar yang berasal dari Selangor itu masih menerima rawatan dan pihaknya akan menahan pelajar terbabit sebaik rawatan selesai,” katanya kepada pemberita.
Manoharan berkata pihaknya juga telah mengenal pasti teman lelaki pelajar terbabit yang berusia 20 tahun juga berasal dari Selangor. – Bernama
Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes