Liga Arab tidak setuju tindakan serang Syria

Nabil Elaraby
Nabil Elaraby
KAHERAH – Liga Arab percaya tindakan ketenteraan ke atas Syria bukan satu pilihan tepat dalam menghentikan penggunaan senjata kimia di negara itu.
Keputusan badan itu jadi satu lagi tamparan buat Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini berhasrat untuk menyerang Syria dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby bagaimanapun berkata, pentadbiran Presiden Bashar Assad perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan senjata kimia yang membunuh ratusan penduduk awam di Damsyik, 21 Ogos lalu.
“Namun, hasrat negara kuasa besar dunia menyerang Syria adalah tidak perlu. Ini kerana, pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang membuat siasatan di lokasi kejadian tidak mempunyai kuasa secukupnya.
“Pasukan penyiasat hanya boleh menentukan bahawa senjata kimia telah digunakan tetapi tidak boleh menentukan siapakah dalang yang menggunakan senjata kimia tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Liga Arab mengadakan perjumpaan bagi menghalang tindakan ketenteraan oleh PBB ke atas Syria.
Liga Arab sebaliknya percaya PBB dan masyarakat antarabangsa perlu melakukan sesuatu bagi menghalang penggunaan senjata kimia berdasarkan undang-undang yang ada.
Menurut Elaraby lagi, PBB selaku wakil masyarakat dunia perlu bertindak sebaik mungkin bagi menghukum mereka yang melakukan jenayah.
Rusia selaku anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan juga sekutu Syria sebelum ini menegaskan tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa rejim Bashar melancarkan serangan tersebut.
Syria juga menafikan telah menggunakan senjata kimia sebaliknya menuduh tindakan menggunakan senjata yang dilarang itu dilakukan oleh kumpulan penentang.
Perang saudara di Syria yang bermula sejak Mac 2011 telah menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang terbunuh dan berjuta-juta rakyatnya jadi pelarian.-abn-
Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes