Sedarkan diri SARAWAKIAN : 22 Julai 1963 Tarikh Keramat Sarawak

22 Julai 1963 tarikh keramat yang perlu diingati apabila k’jaan negeri yang pertama berjaya ditubuh.

LAWAS: Tarikh 22 Julai 1963 merupakan tarikh keramat yang perlu diingati rakyat di negeri ini apabila kerajaan negeri yang pertama berjaya ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada detik itu juga jemaah menteri berjaya dilantik untuk membolehkan Sarawak membentuk kerajaan sendiri. “Ini ialah detik bersejarah yang membawa kepada kemerdekaan Sarawak dengan tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963.

 “Oleh itu, generasi baharu perlu didedahkan dengan perjalanan sejarah negara dan negeri agar mereka faham curahan darah, keringat dan perjuangan pahlawan serta pemimpin terdahulu kerana apa yang dinikmati hari ini tidak datang melayang dengan sendirinya,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Pembangunan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Limbang di Dataran Taman Awam Lawas, semalam. Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang, Maria Hasman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan antara menteri kabinet Sarawak pertama yang masih berada dalam pentadbiran negeri selepas tempoh 50 tahun. “Beliau (Taib) bukan sahaja menjadi saksi sejarah, malah mencipta sejarah cemerlang negeri Sarawak selama 50 tahun. “Sesungguhnya, beliau telah banyak berkorban dan berjasa kepada negeri dan negara kita dalam semua aspek kehidupan dan pembangunan,” ujarnya. Beliau memberitahu sambutan Jubli Emas Sarawak Merdeka

Dalam Malaysia adalah acara sekali seumur hidup dan Pameran Sarawak Merdeka Dalam Malaysia dilaksanakan amat tepat pada masanya. Kata beliau lagi, pameran itu antara lain bertujuan untuk memaparkan usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang dalam membangunkan negeri bermula dari masa pengisytiharan kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 22 Julai 1963.

Jelasnya, antara peristiwa penting yang berlaku sebelum dan selepas 22 Julai 1963 yang amat bermakna dalam menuju kemerdekaan negeri dapat digambarkan dengan jelas melalui bahan yang ditampilkan supaya seluruh anggota masyarakat dapat memahami perjuangan dan pergorbanan pemimpin untuk membawa kemajuan dan kemakmuran selain menjamin kesejahteraan rakyat di negeri ini.-theborneopost-
Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes