SEBUYAU:
Seekor buaya sepanjang 16 kaki ditangkap dan dipindahkan dari Sungai
Merah berhampiran Batang Lupar oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar
(SWAT) Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan bantuan penduduk rumah
panjang.
Pasukan itu mengambil masa selama lima jam untuk menarik buaya berkenaan ke pangkalan feri Sungai Beliong.
Buaya berkenaan dipindahkan ke Jong’s Crocodile Farm kerana penempatan semula bukan pilihan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Urusan JHS Datu Ali
Yusop berkata buaya mempunyai naluri tempat tinggal yang sangat hebat.
“Jika kita memindahkannya ke kawasan lain, peluang untuknya kembali ke
kawasan ini tinggi malah menceroboh ke dalam kampung. Kebimbangan utama
kita ialah keselamatan orang awam.
“Dengan mengambil langkah
menjauhkannya dari kawasan yang berkepadatan penduduk dan sungai utama,
kami berharap ia dapat mengurangkan konflik antara buaya dan manusia,”
ujarnya.
Beliau menambah, pengwujudan Zon Bebas Buaya (CFZ)
antara banyak inisiatif diambil JHS untuk mengekalkan keseimbangan sihat
antara manusia dan buaya.
“Tindakan memindahkan buaya ini
adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai,” jelasnya sambil
menambah buaya merupakan haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan
Hidupan Liar 1998.
Tindakan memburu dan membunuh buaya hanya dibenarkan dengan lesen sah daripada kontroler hidupan liar.
Sehubungan itu, JHS menasihati penduduk di Sungai Merah agar
menggunakan kaedah pagar di kawasan sungai berkenaan terutama lokasi
sering melakukan aktiviti domestik mereka. Pagar itu katanya akan
berperanan sebagai sempadan antara manusia dan buaya bagi menghalang
reptilia berkenaan memasuki wilayah manusia.
JHS katanya, akan
terus memantau kawasan berkenaan dan menggesa orang ramai membuat
laporan jika melihat kelibat pemangsa itu kepada agensi
bertanggungjawab.-BorneoPost
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.