Puteri Bulan : Adik kepada Naga

Secara ringkas diceritakan :

VERSI 1 

Mengikut cerita orang-orang dahulu, disaat isteri Datuk Merpati Jepang sarawat hendak melahirkan anak, bidan sudah siap sedia untuk menyambut kelahiran bayi.

Namun, apa yang mengejutkan adalah....seekor anak ular keluar dari rahim ibunya. Keadaan menjadi tegang dan Datuk Merpati Jepang naik berang. Tanpa berfikir panjang, beliau mencabut parang dan melibat anak ular tersebut. Anak ular tersebut berjaya melarikan diri namun terdapat kesan tetakan pada ekornya.

Setelah beberapa tahun lamanya....

Santubong diserang oleh tentera Monggol (Mughal). Ada juga pihak menyatakan bahawa tentera Pego yang menyerang. Puteri Bulan dan beberapa orang pengikut Datuk Merpati Jepang telah dilarikan oleh tentera Monggol . Datuk Merpati Jepang mengejar mereka sehingga ke Sungai Batang Sadong.

Di sini timbul cerita, anak ular yang lahir dari rahim isteri Datuk Merpati Jepang telah membesar menjadi naga. Naga ini muncul dan membantu bapa dan adiknya. Dia (naga) memberitahu  bapanya bahawa dia adalah anak luar yang dahulu. Datuk Merpati Jepang tidak mempercayainya. Naga tersebut menunjukkan kesan tetakan pada ekornya, barulah bapanya mempercayainya.

VERSI 2

Apabila Majapahit menguasai persisiran Sarawak, maka bermulalah penghijrahan masyarakat Melayu dari Sumatera ke kawasan persisiran ini. Kerajaan Santubong telah dibuka oleh Raden Menteri Dipati Jipang atau Datu Merpati Jepang yang telah berhijrah ke Sarawak pada kurun ke-15.

Diriwayatkan Datu Merpati Jepang adalah seorang putera yang telah diusir oleh neneknya iaitu Betara Andera Kala sewaktu perebutan kuasa di Pulau Langka Putra (Pulau Jawa). Setelah diusir, beliau telah pergi mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu. Sewaktu mengembara di Johor, Datu Merpati Jepang telah berkahwin dengan puteri Raja Jarom Jawa seorang kerabat diraja Johor iaitu Datu Permaisuri Kemala.

Setelah berkahwin, Datu Merpati Jepang telah meneruskan pengembaraannya sehingga ke Tanjung Datu dan disinilah bermulanya pertemuan beliau dengan Datuk Kuli atau Datuk Kuali. Beliau telah membantu Datuk Kuli yang terdampar di sebuah tanjung dan atas pertolongan ini, Datuk Kuli telah mengundang Datu Merpati Jepang dan pengikut-pengikutnya untuk tinggal di persisiran Sarawak.

Memandangkan isterinya Datu Permaisuri Kemala sedang sarat mengandung, Datu Merpati telah berniat untuk tinggal di sebuah penempatan di persisiran Sarawak yang menghadap Laut China Selatan iaitu daerah Santubong.

Setelah beberapa ketika maka isterinya telah melahirkan seorang puteri iaitu anak bongsu mereka yang dinamakan Dayang Seri Bulan. Perkahwinan Datu Merpati juga dikurniakan dengan 2 orang lagi cahayamata iaitu seorang putera lelaki sulung diberi nama Merpati Jepang dan satu lagi dikatakan seekor ular yang telah dilepaskan oleh Datu Merpati dan dikatakan ular ini apabila dewasa menjadi seekor naga.

Dikala kawasan persisiran Sarawak masih lagi kuat dengan ancaman lanun, Datu Merpati sekeluarga telah menyelamatkan diri ke Brunei setelah diserang oleh Pego, angkatan lanun yang ganas di perairan Sarawak pada masa itu.

Di katakan ketika menyelamatkan diri daripada ancaman lanun ini sebenarnya Datu Merpati sekeluarga telah hampir ditawan oleh lanun Pego tetapi kerana adanya anaknya seekor Naga inilah yang membantu mereka sekeluarga yang mengawal bahtera ayahandanya sehingga mampu sampai ke Negara Brunei Darussalam.

Gambar hiasan sahaja.

Catat Ulasan

Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.

Distributed by Gooyaabi Templates | Designed by OddThemes