Tapak Negeri Saribas |
Negeri
Saribas sebenar berkongsi muara Batang Saribas dengan ibu kota Negeri Kalaka
yang besar itu sedangkan pusatnya banyak di sekitar pertemuan Batang Saribas
dengan Sungai Rimbas di sebelah hulu menghampiri pertengahan hutan
belantara.disebut di dalam silsilah raja-raja Brunei dan mendapat tempat yang
banyak juga dalam manuskrip tersebut. Negarakertagama tidak
ada mencatatkan nama Negeri Saribas pada abad ke-14 berbanding dengan jirannya,
Negeri Kalaka. Ini mungkin disebabkan Negeri Saribas didirikan pada
awal atau pertengahan abad ke-17. Syair Tarsilah Negeri Saribas meriwayatkan
pelarian Pengiran Temenggong Abdul Kadir dari ibu kota Kerajaan Brunei di utara
kerana anak gadisnya, Dang Chi’ yang rupawan, telah diambil oleh sultan. Setelah
sampai di muara Batang Saribas beliau telah mendirikan sebuah negeri dengan ibu
kotanya di Tandang Sari di tebing Sungai Rimbas.
Kemudian muncul pula seorang anak raja Pagaruyung,
dikenali di Saribas dan Brunei sebagai Dato’ Gudam, dari Sumatera yang juga
merantau membawa diri kerana gagal dalam ujian naik tahta sambil
berdagang. Pada suatu hari Dato’ Gudam berlabuh di Tandang Sari dan
bertemu dengan Pengiran Temenggong Abdul Kadir dan isterinya yang masih
merindui anak gadis mereka. Pengiran Temenggong Abdul Kadir berjaya
memujuk Dato’ Gudam untuk mengambil dan membawa pulang Dang Chi’ keluar dari
istana. Beliau berjaya dan atas jasa itu telah dikahwinkan dan Dato’
Gudam kemudian memegang teraju pemerintahan Negeri Saribas yang menurunkan
waris kepada keturunan Abang dan memegang jawatan-gelaran Datu Patinggi, Datu
Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu Hakim di lembah Batang Saribas.
Kesejarahan boleh dilihat dalam beberapa segi seperti
kewujudan sebuah tempat Gudam di Tanah Datar Minangkabau di mana istana
Kerajaan Pagaruyung yang pertama adalah di Gudam di samping bererti istana dalam
Sanskrit. Stamford Raffles, setahun sebelum mengambil Singapura,
telah melawat Gudam untuk berjumpa Raja Pagaruyung pada tahun 1818. Keturunan
Dato’ Gudam masih ingat samar-samar tentang penubuhan negeri ini, tetapi mereka
ingat tentang keturunan yang memegang jawatan-gelaran seperti juga yang dicatat
dalam silsislah raja-raja Brunei. Pengisahan seorang bernama
Aulaksamana terdapat juga dalam karya Charles Brooke di mana beliau merakamkan
bahawu laksamana ini pada tahun 1860 berusia 90 tahun.
Catat Ulasan
Sarawak Post tidak akan bertanggungjawab atas terhadap ulasan/komen anda.TQ.